
SUNGAI BULOH: Penduduk Taman Seri Alam dan Saujana Perdana, di sini sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab susulan kejadian takungan air pecah yang mengakibatkan banjir kilat di kawasan perumahan mereka.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, perkara itu merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama penduduk dan membincangkan beberapa langkah perlu diambil bagi menangani isu itu.
“Antara perkara yang telah dibincangkan adalah mendesak pihak pemaju untuk segera membaiki kolam takungan yang pecah bagi mengelakkan kejadian berulang dan memastikan pemantauan rapi daripada pihak berkuasa sepanjang proses pembaikan dijalankan.
“Seterusnya, membincangkan langkah untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami penduduk dan mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Selain itu, mengemukakan permohonan bantuan bencana kepada Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Akhir sekali, menekankan kepentingan untuk memberi perhatian khusus kepada keselamatan dan kesihatan penduduk, termasuk pencegahan penyakit yang berpotensi timbul akibat banjir,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, beliau mengharapkan agar langkah-langkah itu dapat membantu menyelesaikan isu itu dengan segera dan melindungi kesejahteraan penduduk terkesan.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp beberapa video memaparkan kejadian banjir di Taman Sri Alam, turut berlegar di media sosial kejadian air naik di Jalan Mokhtar Dahari berhampiran Taman Hill Park, di sini, akibat hujan lebat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5:15 petang, semalam.
“Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama bersama jentera dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati paras air adalah 0.3 meter. Ketika itu kerja pemindahan mangsa yang terjejas sedang dijalankan dengan bantuan PBS Saujana Utama,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya mengesahkan bahawa benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut sumber, insiden itu merupakan kali kedua berlaku selepas kejadian pertama pada 2014 tetapi ketika itu tidak seteruk semalam. – HARAKAHDAILY 30/12/2024












