MAHB harus kekal status syarikat awam negara

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: PAS Negeri Pulau Pinang dengan tegas menolak sebarang usaha penjualan saham strategik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihak asing danmenyifatkannya sebagai tindakan yang boleh merugikan kepentingan negara.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, MAHB adalah salah satu aset strategik negara yang mencatatkan keuntungan besar sebanyak 137 peratus selepas cukai dalam tempoh setahun. 

“MAHB sewajarnya kekal berstatus syarikat awam yang disenaraikan di BURSA Malaysia agar dapat diuruskan dengan telus dan tatakelola yang baik tanpa ada campur tangan daripada pihak berkepentingan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, keputusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersedia untuk memulakan prosiding bagi meneliti keputusan penjualan saham MAHB kepada pihak luar adalah satu keputusan baik agar maklumat terperinci dapat dikumpulkan.

Beliau turut menegaskan bahawa MAHB harus kekal di bawah pemilikan rakyat Malaysia bagi memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara. 

“Justeru, PAS Pulau Pinang berharap agar tiada usaha membabitkan sebarang aset negara yang boleh merugikan negara dan keputusan berkenaan penjualan MAHB ini dapat dinilai sebaik mungkin serta mendapat perhatian daripada kerajaan hasil daripada penolakan barisan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -