
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari, Hanisah Abd Rahman menyeru pihak berkuasa dan pemegang konsesi lebuh raya supaya memperbaiki aspek sistem keselamatan.
Ulasan beliau susulan nahas tragis yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Ayer Keroh pada Isnin lalu ketika ramai bersiap untuk pulang bercuti bagi sambutan Krismas dan Tahun Baharu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan sebuah lori treler tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Bas persiaran dalam kejadian itu dilaporkan dari arah Utara ke Selatan gagal mengelak, lalu hilang kawalan, sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan lain.
Kelemahan pengurusan lebuh raya
Hanisah berkata, pada awalnya, pemandu lain yang menyedari bahaya itu sempat menghidupkan lampu kecemasan sebagai langkah amaran awal.
Namun terangnya, dalam suasana lebuh raya yang gelap dan aliran trafik yang laju pada waktu malam, kawalan terhadap situasi menjadi lebih mencabar.
“Tidak dapat dinafikan, kelewatan pihak lebuh raya mengesan objek asing di jalan menunjukkan bahawa sistem keselamatan lebuh raya kita masih memerlukan penambahbaikan yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan.
*Langkah menteri dan statistik membimbangkan*
Hanisah memuji tindakan segera Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang mengarahkan siasatan terperinci oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap syarikat lori dan bas yang terlibat.
Namun, beliau mengingatkan bahawa masalah keselamatan melibatkan kenderaan berat sudah lama berlarutan.
“Secara purata, didapati tiga buah lori terlibat dalam nahas dalam sehari, menyumbang hampir 5,364 kematian tahun ini,” katanya.
Keperluan langkah jangka pendek
Hanisah mencadangkan beberapa langkah strategik jangka pendek untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
“Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah mengalihkan penggunaan lebuh raya untuk kenderaan berat kepada pengangkutan kargo antara negeri melalui kereta api, yang lebih selamat dan efisien,” katanya.
Beliau turut mencadangkan latihan kepada pengguna jalan raya untuk mengenali dan menggunakan isyarat kecemasan dengan betul.
Menurutnya, usaha itu dapat membantu pengguna bertindak sebagai penyelesai barisan hadapan dalam situasi tidak dijangka, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
Hanisah mengingatkan semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam mengawal dan mencegah kejadian tidak diingini daripada berulang,
“Terutamanya pihak konsesi lebuh raya sebagai pengendali utama yang bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna.
“Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW, di mana setiap langkah yang kamu hayunkan untuk menghilangkan sesuatu bahaya di tengah jalan adalah sedekah.
“Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat, dan semoga mereka diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2024











