‘Kadang-kadang air peluh bercampur air mata’

Tanaman terung yang diusahakan anak muda di Kampung Bukit Tanah, Jabi mula mengeluarkan hasil.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata beliau tersentuh dengan kata-kata seorang petani apabila mengutip hasil.

- Advertisement -

“Saya tersentuh dengan kata-kata seorang petani, bila kutip hasil, luas mata kita tengok kebun sejauh mata memandang.

“Masa kerja dulu tak leh nak buka mata, pedih dengan air peluh. Kadang-kadang air peluh bercampur air mata,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Fecabook beliau.

Menurutnya, para pengguna yang selalu suka tawar menawar apabila hendak membeli hasil pertanian belum tentu mempunyai tekad dan kesungguhan seteguh para petani.

Katanya, selepas musim banjir, memang menjadi trend kenaikan harga sayuran dan produk pertanian lain termasuk juga hasil akuakultur.

“Antara faktornya ialah ramai petani dan penternak akuakultur yang ‘tawaquf sementara’ atau orang Jabi kata ‘monsun break’ bagi mengelakkan risiko kemusnahan akibat dilanda banjir,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Walaupun begitu, kata beliau ada mereka yang tegar untuk terus bertanam dan menternak walau menyedari risiko yang ada di hadapan, bukan berserah bulat-bulat kepada takdir tetapi bertawakal setelah berusaha.

Katanya, kerajaan negeri membantu membina sistem saliran dan perparitan untuk melancarkan aliran air bagi mengurangkan risiko air banjir bertakung dalam kawasan tanaman.

Tambahnya, bagi penternak akuakultur, kerajaan negeri turut membantu bagi menyediakan pusat penempatan sementara (PPS) sebagai pusat perlindungan ikan sepanjang musim tengkujuh.

“Tak semua keadaan yang kita mampu lalui dan atasi dengan usaha kerana ada banyak faktor luar jangka mungkin berlaku bila kita berbicara topik bencana alam seperti banjir,” katanya lagi.

Menurut beliau, ada yang berjaya melepasi halangan dan tidak kurang juga yang berdepan kerugian.

Katanya, mereka yang berjaya dapatlah menikmati harga jualan yang sedikit lumayan.

“Maka terdengarlah ungkapan, untunglah petani harga sayur mahal loni (sekarang)!

“Ramai yang tak menyedari pengorbanan dan risiko, keringat dan air mata yang tumpah sebelum dapat menikmati hasil dengan senyuman,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, mereka yang berdepan kerugian, kerajaan negeri membantu melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 27/12/2024

- Advertisement -