Apa sebenarnya dimaksudkan dengan ‘Malaysian first’?

- Advertisement -

BARU-BARU ini dilancarkan jilid pertama dan kedua buku biografi Lim Kit Siang; Malaysian First Bold To The Last Battle yang ditulis oleh Kee Thuan Chye.

Buku ini dilancarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Turut kelihatan hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan Tan Sri Annuar Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Mereka hadir ke majlis tersebut mungkin kerana dilangsungkan di Ipoh.

Jadi sebagai penghormatan terhadap ahli politik veteran tersebut, tokoh-tokoh pimpinan besar negeri Perak hadir bagi meraikan kehadiran Tan Sri Lim Kit Siang ke bumi Perak.

Tak mengapalah kita meraikan orang bertandang di tempat kita.

- Advertisement -

Perkara yang lebih utama dan relevan untuk kita, khususnya orang Melayu Muslim ialah membincangkan mengenai konsep ‘Malaysian first’ yang dijadikan tema buku Lim Kit Siang.

Begitu juga dengan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi agenda utama perjuangan DAP.

Ideologi Tan Sri Lim Kit Siang, dan DAP secara amnya ialah sekularisme dengan memperjuangkan hak kesamarataan antara kaum dan agama.

Sekularisme DAP ini bukan ideologi yang dibawa oleh individu. 

Perlembagaan DAP meletakkan sekularisme sebagai perjuangan parti mereka.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1147740/dap-mahu-perlembagaan-negara-sekular-sama-seperti-kerangka-awal

Mengenai bahaya ancaman sekularisme, ia merupakan virus pemikiran yang merosakkan iman selepas ia merosakkan kedudukan Islam dalam bernegara.

Implikasi ancaman sekularisme ini ditegaskan oleh Sheikhul Islam Uthmaniyyah yang terakhir, Sheikh Mustafa Shabri, apabila melihat keghairahan rakyat Turki yang menyambut sekularisme yang dibawa oleh Attaturk.

Kebanyakan negara Arab pula berdiri atas ideologi sosialisme Ba’ath yang berintikan sekularisme, termasuklah di Syria yang rejim Basyar Assad berjaya digulingkan.

Manakala Iran pula, ia menongkah arus dunia Sunni.

Daripada sistem monarki Shah yang sekular, rakyat Iran berjaya menggantikannya dengan sistem republik berasaskan teori wilayatul faqih.

Manakala di Malaysia, sistem pemerintahannya ialah demokrasi berparlimen raja berperlembagaan, dengan Islam dijadikan sebagai agama Persekutuan Malaysia. 

Ia bukanlah sistem raja mutlak yang memerintah negara yang tidak mendaulatkan agama.

Malaysia ialah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dan raja berperanan untuk menjaga kedudukan agama dalam negara ini.

Dari sudut sosialnya pula, sememangnya diakui bahawa Malaysia merupakan negara berbilang agama dan kaum.

Namun berbilang agama dan kaum ini tidak boleh menafikan kedudukan Islam yang merupakan satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan, di samping kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai tunjang rakyat Malaysia yang haknya juga termaktub dalam Perlembagaan. 

Asas kontrak sosial antara kaum di Malaysia dibina berasaskan konsep integrasi.

Walaupun begitu terdapat kaum dan penganut agama lain yang berasimilasi dengan cara menganut agama Islam, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan mengambil budaya Melayu sebagai identiti pengenalan diri.

Jadi apa sebenarnya ‘Malaysian first’ yang di ‘battle’ kan oleh Tan Sri Lim Kit Siang secara ‘bold’ sehingga ke ‘last’?

Adakah DAP yang konsisten memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ boleh menerima konsep negara Malaysia sebagai yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, ataupun mereka mempunyai agenda jangka masa panjang untuk mengubah landskap negara kita?

USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Pengerusi Lajnah Dakwah
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/12/2024

- Advertisement -