Polis minta awam bantu kes samun warga emas

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian samun membabitkan seorang warga emas di Kampung Dusun, Kuala Berang, Rabu lalu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, dalam kejadian berkenaan mangsa kehilangan wang tunai melibatkan kerugian RM2,300.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu telah menerima satu laporan polis daripada mangsa, seorang warga emas berumur 88 tahun, seorang pesara guru, yang menyatakan beliau telah disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Berang pada jam lebih kurang 1:30 pagi. 

“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa tinggal berdua bersama isterinya dan ketika itu mangsa mahu menunaikan solat. Tiba-tiba, mangsa melihat seorang lelaki yang tidak dikenali, dipercayai warga tempatan, memakai baju hitam serta bertutup kepala (hoodie). 

“Suspek telah mengacu pisau dan meminta wang. Bimbang akan keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,300. Suspek dipercayai memasuki rumah melalui pintu tingkap yang tidak mempunyai jeriji,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata, pihak polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis memohon orang ramai sekiranya mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Hulu Terengganu di talian 09-6812222 atau Pegawai Penyiasat Insp Aiman Baihaqi Che Shaffie di talian 019-9377864,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan keselamatan kediaman masing-masing dengan memastikan pintu dan tingkap sentiasa berkunci, memasang jeriji serta mempertimbangkan pemasangan CCTV.

“Pencahayaan di luar rumah pada waktu malam adalah penting untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -