Perkukuh kefahaman Islam dan budaya Melayu

Presiden PAS bertemu Duta China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meneruskan agenda dakwahnya dengan memperkukuhkan kefahaman Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing mengenai budaya rumpun Melayu dan dunia Islam dalam satu pertemuan semalam. 

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan pertemuan tersebut sebagai contoh jelas nilai dakwah yang sering dibawa oleh Tuan Guru dalam karier politik beliau.

Menurut beliau, nilai-nilai tersebut melibatkan lima aspek utama yang menjadi teras perjuangan Tuan Guru, dengan pertama digariskannya, bahawa Presiden PAS itu sering menekankan pentingnya pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

“Dalam ceramah dan penulisannya, Tuan Guru Abdul Hadi menggariskan bahawa Islam bukan hanya agama ibadah, tetapi juga sistem yang mengatur kehidupan bermasyarakat, politik, dan pemerintahan.

“(Kedua) Dakwah beliau menekankan keperluan perpaduan umat Islam tanpa mengira mazhab. Beliau sering menyeru umat Islam supaya kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai jalan penyelesaian kepada masalah ummah,” kata Hanif dalam media sosial miliknya.

Ketiga katanya, Tuan Guru lantang memperjuangkan penerapan undang-undang syariah demi keadilan dan kesejahteraan masyarakat. 

Keempat tambah Ustaz Hanif, Ahli Parlimen Marang itu turut memberi fokus kepada pembangunan sosial dan akhlak melalui seruan agar masyarakat Islam memperbaiki diri, mengamalkan nilai Islam, dan memajukan ekonomi ummah.

Kelima tidak ketinggalan jelasnya, Tuan Guru juga sentiasa membawa mesej Islam sebagai agama yang membawa keamanan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

“Beliau menyeru agar wujudnya dialog yang baik antara agama dan bangsa,” katanya.

Ustaz Hanif turut memuji usaha Tuan Guru yang konsisten membimbing masyarakat Islam supaya berpegang teguh kepada prinsip agama, meskipun berdepan cabaran dunia moden.

“Inilah Tuan Guru Kami. Semoga Allah merahmati beliau,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -