‘Melahirkan graduan mencipta kerja, bukan cari kerja’

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tekanan dan bidang yang tidak sesuai di tempat kerja antara punca pengangguran dalam kalangan graduan.

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, meskipun program seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lain-lain telah banyak diperkenalkan, beliau masih melihat kegelisahan graduan yang menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan.

“Adakah kerajaan berfikir sama ada melalui Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Tinggi untuk menjurus kepada melahirkan graduan yang mencipta kerja yang bukan mencari kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong, berkata banyak syarikat memerlukan tenaga kerja seperti juruteknik dan jurutera, namun isu yang timbul adalah berkaitan guna tenaga tidak penuh iaitu pekerjaan yang tersedia tetapi dengan gaji yang tidak memuaskan.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan tindakan kerajaan bagi mengatasi isu serius mengenai kadar guna tenaga kerja yang bekerja tidak mengikut kesesuaian kemahiran dan kelayakan terutama dalam kalangan para graduan. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -