
KOTA BHARU: Sukan luncur ombak adalah aktiviti sihat dan perlu diaktifkan kerana ia berpotensi luas hingga ke peringkat antarabangsa, kata Presiden Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Kamaruzaman Mohamad.
Menurut beliau, pihaknya ingin memberi penjelasan aktiviti ini bukan sekadar sukan, namun ia turut melibatkan pelancongan, kajian, ekonomi dan sebagainya.
Menurutnya, aktiviti sebegini akan menarik perhatian ramai bukan sahaja peserta tempatan, sebaliknya luar negara yang sudah biasa dengan aktiviti ini.
Menurutnya, pihak PLOM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjayakan aktiviti sukan luncur sama ada dari pihak kerajaan atau swasta.
“Kehadiran sufer yang begitu ramai dari seluruh negara termasuk luar negara serta bantuan dari pakar, juri yang berpengalaman di peringkat Asia, membuktikan pasukan kami bersifat holistik dan inklusif untuk membangunkan sukan ini.
“Baru-baru ini wujud sedikit kontroversi tentang salah tafsir berhubung sukan luncur ini apabila ombak yang diandaikan sesetengah pihak yang kita sendiri sudah sedia maklum berhubung kenyataan negatif itu,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Kemasin Surfing Competition Vol 1 2024 yang diadakan di Pantai Impian (Kemasin), dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Zameri Mat Nawang.
Turut hadir pada majlis itu, ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan ADUN Tawang Harun Ismail serta Ketua Jajahan Bachok Bandar Pelancongan Islam, Shamsul Abu Bakar.
Beliau turut berpendapat, sukan surfing ini diharap tidak lagi bersifat pinggiran, sebaliknya berperanan di tengah-tengah jati diri anak muda Malaysia khususnya di Kelantan.
Tambahnya, dengan adanya aktiviti ini juga tugas anak muda surfer turut berperanan seara langsung dalam kerja kebajikan seperti operasi menyelamat mangsa banjir sukarelawan penyelatan di kawasan air dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 16/12/2024












