Sukan luncur ombak tarik pelancong musim MTL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menyedari pertandingan luncur ombak sempena Monsun Timur Laut (MTL) yang pertama diadakan di Kelantan membuahkan hasil, kemungkinan program lebih besar akan diadakan pada masa akan datang.

- Advertisement -

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Zameri Mat Nawang berkata, program julung kali pernah diadakan ini telah berjaya menarik 70 penyertaan termasuk luar negara.

Menurutnya, selain peserta dalam negara, peserta luar seperti Portugal, Brunei Darussalam dan Singapura juga turut mengambil bahagian pada program tersebut.

Katanya, musim tengkujuh yang begitu panjang lebih kurang tiga bulan amat sesuai untuk acara sukan ini.

“Aktiviti sukan luncur ini, tidak semestinya pada musim banjir hujan lebat, sesuai juga kalau waktu panas selagi adanya MTL.

“Apa yang penting acara ini sesuai sekiranya ada ombak besar dan hasrat kerajaan negeri untuk menganjurkan program ini nampaknya telah berjaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis peraasmian dan penyampaian hadiah pada pertandingan Kemasin Surf Competition 2024 di Pantai Impian (Kemasin), dekat sini petang semalam.

Turut hadir pada majlis itu, ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan ADUN Tawang Harun Ismail; Ketua Jajahan Bachok Bandar Pelancongan Islam, Shamsul Abu Bakar dan Presiden Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Kamaruzaman Mohamad.

Katanya lagi, pertandingan ini membuktikan Pantai Impian, atau kini dikenali sebagai Pantai Kemasin, berpotensi besar sebagai destinasi sukan air bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang mampu menarik pelancong tempatan dan luar negara.

Beliau juga berharap acara ini yang dirancang menjadi agenda tahunan dapat mencungkil bakat baharu dalam arena luncur ombak khususnya di Kelantan.

“Kelantan akan terus dipromosikan sebagai destinasi sukan lasak pilihan utama di Malaysia dan antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, dua peluncur dari Selangor dan Pahang, Lucas Santiago Wehle dan Mohamad Irfan Naufal Kasa, mencipta kejayaan cemerlang apabila masing-masing mengungguli Pertandingan Luncur Ombak Kemasin 2024 bagi dua kategori utama.

Lucas Santiago dinobatkan sebagai johan bagi kategori Best Wipe Out dan Men’s Shortboard, sementara itu, Mohamad Irfan Naufal Kasa dari Pahang menyandang johan kategori Best Trick dan Grommet (Bawah 16).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000 serta medal bagi dua kategori yang dimenangi. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -