‘Langkah Kajang’ bakal berulang, demokrasi dimanipulasi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Taktik politik seperti ‘Langkah Kajang’ tidak wajar diulang kerana ia hanya membazirkan wang negara dan bersifat manipulasi demokrasi yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin mengimbau peristiwa ‘Langkah Kajang’ yang dilaksanakan sebagai satu percaturan politik oleh pihak tertentu khususnya PKR pada tahun 2014.

- Advertisement -

Langkah melibatkan peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan itu dipercayai cuba digambarkan beliau kepada situasi politik sedang berlaku ketika ini.

Ustaz Hanif mungkin mahu menyamakan kejadian itu kepada desas-desus Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai PKR daripada Umno.

Imbasnya kepada ‘Langkah Kajang ketika itu Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mulanya dirancang bertanding, tetapi akibat isu undang-undang, beliau digantikan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rata-rata umum terutama para pemerhati dan pemain politik melihat, langkah itu dirancang bagi menyelesaikan krisis dalaman parti dan mengukuhkan kedudukan Anwar Ibrahim.

“Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi hubungan beliau dengan kepimpinan PKR, terutamanya Anwar Ibrahim, dikatakan tidak begitu baik. Langkah ini dirancang untuk menggantikan Khalid dengan seseorang yang lebih selari dengan dasar parti.

“Selain itu, ia juga dilihat sebagai percubaan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor, memandangkan pada ketika itu beliau menghadapi cabaran besar di peringkat Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyoroti kesan langkah tersebut, termasuk krisis Menteri Besar pada 2014 yang menyaksikan Tan Sri Khalid digantikan oleh bekas pimpinan PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Langkah ini meninggalkan kesan mendalam terhadap persepsi rakyat terhadap PKR. Bagi penyokong, ia adalah taktik bijak untuk menyelesaikan konflik dalaman. Namun, bagi pengkritik, ia mencerminkan politik manipulatif.

“Malah tidak mengutamakan kepentingan rakyat Kajang,” ujarnya turut menyelar pembaziran wang rakyat akibat PRK Kajang yang menelan kos lebih RM1.6 juta dan menyifatkan ia dilakukan atas alasan politik semata-mata.

Menurut beliau juga, kritikan utama ialah bagaimana politik digunakan untuk menyelesaikan masalah peribadi parti, bukannya untuk manfaat rakyat keseluruhan.

Ustaz Muhammad Hanif juga memetik pandangan penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat, yang menyifatkan langkah itu sebagai manipulasi demokrasi.

“‘Langkah Kajang’ adalah pelajaran tentang bagaimana demokrasi boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu, tetapi ia juga menunjukkan risiko apabila strategi ini tidak diterima baik oleh rakyat,” petik Hanif daripada kenyataan Wong.

Hanif berkata, ramai pihak mempersoalkan keperluannya dan kesannya kepada rakyat Kajang, namun ia tetap diteruskan dan memperlihatkan bagaimana politik digunakan secara taktikal untuk mengukuhkan kuasa dalam sesebuah negeri.

Beliau memberi amaran agar taktik politik seperti itu tidak diulang, namun tidak dapat menolak kemungkinan ia akan berlaku sekali lagi berdasarkan permainan politik ketika ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul ke dalam PKR, namun ia masih di peringkat perbincangan.

Anwar dilapor menegaskan prinsip PKR adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan, tetapi harus dilakukan dengan cara tidak menjejaskan hubungan dengan parti lain termasuk Umno.

Mengenai minat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR, Anwar menyarankan agar perkara itu dirujuk terus kepada beliau sendiri. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -