
KANGAR: Kerajaan Perlis bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri, termasuk kakitangan kontrak, sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memberitahunya, Perlis mempunyai seramai 1,417 penjawat awam, termasuk kakitangan tetap dan kontrak yang berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan, termasuk ketua jabatan dan wakil-wakil agensi berkaitan.
“Saya menyeru semua penjawat awam untuk bekerja dengan niat ikhlas, menjunjung integriti, dan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah. Semoga negeri Perlis terus maju dan menjadi negeri yang sejahtera untuk semua,” ungkapnya memotivasikan.
Beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang disifatkannya menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara kedua pihak, selain perhimpunan itu juga berupaya menyampaikan hasrat kerajaan negeri dengan lebih dekat.
“Alhamdulillah, himpunan ini memberikan peluang untuk kita merapatkan hubungan serta menyampaikan hala tuju dan perancangan negeri.
“Saya merakamkan penghargaan atas dedikasi penjawat awam yang terus menjadi tulang belakang dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya pada perhimpunan yang diadakan di Dewan Banquet, di sini hari ini.
Perhimpunan itu lazimnya diadakan secara berkala, bergantung kepada keperluan dan arahan pentadbiran, sama ada sebulan sekali, setiap dua bulan, atau mengikut jadual tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam himpunan tersebut juga adalah usaha serius membendung penyakit rabies melalui langkah proaktif seperti vaksinasi dan kawalan populasi haiwan.
Mohd Shukri turut menyentuh isu banjir di negeri ini yang diuruskan secara cekap melalui kerjasama erat antara agensi dan pihak berkepentingan.
“Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan juga memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang dan inklusif, dengan penjawat awam diiktiraf sebagai elemen penting dalam pelaksanaan dasar kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2024












