752 suri rumah Kelantan dicarum SKSSR PERKESO

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 752 suri rumah di Kelantan menerima caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada tahun 2024.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, peruntukkan sebanyak RM90,240 bagi menyediakan caruman RM120 seorang selama setahun.

Menurut beliau, menerusi kerjasama PERKESO dan kerajaan negeri, penerima dipilih melalui proses penilaian rapi termasuk memastikan individu terbabit merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Maka, ini sedikit inisiatif kerajaan negeri melalui SKSSR ini kita khaskan buat para suri rumah yang layak sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kita kepada mereka.

“Ia sebagai pelan perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada diri mereka,” katanya pada majlis perasmian Skim Cakna Suri 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob; Timbalan EXCO, Nor Asilah Mohamed Zain dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki.

Rohani merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas berkata lagi, Skim Cakna Suri yang mula dilaksanakan pada 2020 membabitkan 27,671 orang penerima seluruh Kelantan.

Malah skim itu katanya, melalui beberapa fasa penambahbaikan termasuk pemberian bantuan tunai ‘one-off’ bernilai RM100 pada 2020 sehingga 2022 dan ditingkatkan kepada RM200 pada 2023.

Pada tahun 2024 ujar beliau, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menyediakan caruman itu untuk memastikan golongan itu turut menerima perlindungan seperti pekerja awam dan swasta.

“Kita tidak kaya sebagaimana orang lain, tetapi kita dapat jadi negeri berkebajikan kepada rakyat pelbagai peringkat dengan semampunya walaupun tidak banyak tetapi cukup tanda barakah.

“Kita melaksnakan skim ini sejak 2020 untuk suri rumah sepenuh masa, ia sebagai ketandaan kita sangat cakna atau ambik cagho kepada kaum wanita khususnya suri rumah sepenuh masa,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -