
KUALA TERENGGANU: “Gembirakan hati saudara kita yang ditimpa musibah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.
Beliau menyatakan demikian menerusi laman sosialnya hari ini susulan meraikan nelayan yang terlibat dalam bencana kepala air di Sungai Merang, Kampung Telaga Papan, Setiu pada 1 Disember lalu.
Katanya, sebanyak 17 buah bot nelayan terlibat dalam bencana itu.
Menurut beliau, antaranya ialah 10 buah sampan nelayan yang tidak berlesen walaupun mereka adalah nelayan tulen.
“Hari ini kita raikan mereka sambil menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban kepada 10 orang nelayan yang mengalami kerosakan bot dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, bagi nelayan yang berlesen, kerajaan negeri telah menyelaraskan tindakan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk memohon bantuan di bawah Tabung Bencana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kenapa masih ada nelayan sampan yang tak berlesen walaupun kita dah buat Task Force Lesen Sampan Nelayan pada tahun 2019?” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengimbas kembali pada tahun 2019 yang telah dibuat Task Force Lesen Sampan Nelayan.
“Hasilnya gerak kerja melalui task force ini kita telah berjaya menyelesaikan isu lesen ini kepada lebih 600 orang nelayan,” jelasnya.
Tambah beliau, tetapi terdapat pemohon yang tidak memenuhi syarat ketika itu dan ada juga yang tidak memohon menyebabkan mereka telah tercicir.
Justeru, ujarnya beliau hendak menyusun langkah seterusnya untuk bergerak ke hadapan kerana yang penting rakyat mesti dibantu.
“Tadi saya bincang dengan Pengarah Perikanan Terengganu bagi mewujudkan Task Force Lesen Sampan Nelayan 2.0 untuk kita kutip baki nelayan yang masih tercicir.
“KPI saya ialah, selepas ini tiada lagi nelayan tanpa lessen,” tambahnya yang juga ADUN Jabi.

Beliau mengucapkan terima kasih Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif merangkap anak jati nelayan dari Kampung Telaga Papan yang banyak membantu mempermudahkan urusan pihaknya dalam menjaga kebajikan nelayan yang terkena musibah.
Dr Azman turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Perikanan Terengganu, Pegawai Daerah Setiu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta Persatuan Nelayan Setiu susulan majlis itu yang diadakan di Kampung Telaga Papan. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











