Anehnya manusia

- Advertisement -

ALLAH berfirman :

- Advertisement -

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (at-Tin: 4)

Allah SWT tegaskan bahawasanya manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Dilengkapkan dengan segala keperluan untuk berperanan sebagai khalifah di bumi.

Dikurniakan akal dan ilmu, diutuskan Rasul sebagai penyelamat dan teladan dan dilimpahkan dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung. 

Namun ada manusia yang berwatak aneh: 

1. Manusia dikurniakan akal sebagai pembeza dengan makhluk binatang. Anehnya sebahagian dari manusia itu merosak akalnya dengan meminum arak atau menyalahguna dadah. Bahkan yang lebih buruk, berusaha merosak akal orang lain dengan mempromosi arak atau menjadi pengedar dadah.

2. Mengharap syafaat Rasul di hari akhirat. Anehnya manusia memusuhi Rasul, padahal syarat untuk mendapat syafaat mestilah dengan mematuhi dan mencintai Rasul. Bukti mencintai Rasul ialah menghidup, memperjuang sunnah serta membanyakkan selawat kepada-Nya.

3. Mengecapi pelbagai macam nikmat kurniaan Allah. Anehnya ramai yang tidak mensyukuri nikmat yang diperolehi, sebalik mengkufurinya. Tidak kurang pula yang menyalahgunakan nikmat yang diberi. Bukankah Allah telah berfirman yang maksudnya: “Jika engkau mensyukuri nikmatKu, maka akan Aku tambah nikmat untukmu, tetapi jika kamu kufur, maka sungguh ‘azabKu sangatlah pedih.”

Ramai manusia yang Allah limpahkan kepadanya harta tapi enggan berzakat, bakhil untuk berinfaq dan sangat berkira-kira dengan hartanya dari dibelanja pada jalan Allah.

4. Mendambakan ganjaran pahala serta balasan syurga. Anehnya manusia tersebut tidak beramal dan malas beribadah. Bagaimana ingin menuai hasil jika tidak mahu bercucuk tanam?

Ada yang diberi kefahaman ilmu, tetapi mensia-siakannya tanpa amal. Ada pula yang beramal, tetapi tanpa panduan ilmu. Kesudahannya menjadi sia-sia tanpa ganjaran pahala.

5. Takut menghadapi kematian dan sedar adanya hari kebangkitan. Anehnya manusia tidak mempersiapkan bekal. Manusia tahu akan jauhnya perjalanan dan panjangnya masa yang akan dilalui selepas mati, namun persiapan ke arah itu tetap diabaikan.  

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa yang bermaksud “Hiduplah kamu di mana saja engkau suka, tetapi ingat engkau akan mati. Setiap makhluk hidup pasti akan memasuki pintu kematian, tidak perlu mempersoalkan bagaimana kematian itu menemui kita, yang utama adalah apa yang kita persiapkan menghadapinya…”

6. Meyakini al-Qur’an sebagai kalamullah dan risalah Allah untuk memandu manusia.

Anehnya manusia tidak berusaha untuk memahami dan beramal dengan ajarannya. Jika kita perhatikan, hampir semua rumah orang Islam mempunyai kitab suci al-Qur`an, ada pula yang melengkapinya dengan terjemahan dan tafsirnya, tetapi hanya disimpan ditempat yang tinggi, tidak dibaca dan dipelajari serta difahami.

7. Sebagai khalifah, diberi peluang memimpin manusia dan mengimarah dunia. Anehnya peluang yang diperoleh diabaikan. Bukankah pemimpin yang adil menjadi kelompok pertama mendapat naungan arasyh Allah, tetapi ia memilih untuk berbuat zalim.

Bukankah Nabi telah memberi ancaman melalui Hadis yang bermaksud: 

“Tiada seseorang yang diamanah oleh Allah memimpin rakyat, kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga.” 

Kerasnya amaran Nabi terhadap pemimpin yang menipu, tapi ada yang memilih terus menerus menipu rakyatnya

Anehnya manusia, diberi peluang tetapi melepaskannya, mendapat ruang tetapi sengaja mengabaikannya. Kesudahan hidup dengan penyesalan.

Firman Allah SWT:

وَأَنذِرۡهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡحَسۡرَةِ إِذۡ قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ وَهُمۡ فِي غَفۡلَةٖ وَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ

“Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.” (Maryam: 39)

USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -