
NETANYAHU menyeru kepada rakyat Israel supaya memperbanyakkan penempatan di Bukit Golan. Ia ekoran perkembangan di luar jangka yang berlaku di Syria. Bukit Golan pada asalnya adalah sebahagian daripada Syria sebelum dijajah oleh Zionis Israel ketika perang 1967. [1][2]
Israel mengarahkan supaya ditutup kedutaan Ireland di Tel Aviv setelah negara tersebut menyokong supaya Israel dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ). Ireland antara negara lantang seiring dengan Afrika Selatan mengecam keganasan Zionis Israel di Palestin. Sikap ini adalah kerana pengalaman Ireland yang dijajah oleh British dan mempunyai titik persamaan dengan rakyat Palestin yang berjuang memerdekakan negara mereka yang dijajah oleh British pada awalnya sebelum diserahkan bumi suci itu kepada Zionis Yahudi bagi menubuhkan negara haram mereka pada tahun 1948. [3]
Algeria memberi amaran keras terhadap Perancis kerana perancangan jahat untuk menggugat keamanan negara. Ia ekoran maklumat perisikan Algeria mendapati perisikan Perancis merekrut anasir daripada Algeria untuk melakukan tindakan keganasan bagi mewujudkan ketidakstabilan politik di negara tersebut. Mutakhir ini hubungan antara Algeria dan Perancis sentiasa tegang selepas era pemerintahan baharu di bawah kepimpinan Presiden Abdul Majid Tabbun yang berjaya mengembalikan Algeria ke landasan sebenar setelah berpuluh tahun berada di bawah kepimpinan proksi Perancis. Antara langkah yang diambil beliau ialah menggantikan bahasa Arab sebagai bahasa negara dan menekan Perancis supaya memohon maaf serta membayar pampasan di atas kezaliman yang dilakukan Perancis sepanjang penjajahannya ke atas Algeria yang meragut ratusan ribu nyawa rakyat Algeria. Oleh kerana itu Algeria digelar sebagai negara ‘Sejuta Syahid’ sebagai simbolik pengorbanan lebih sejuta rakyatnya yang berjuang menentang penjajahan Algeria. [4][5][6]
Ketua Pengawal Revolusi Iran, Hussein Salamy mengingatkan bahawa Barat sedang merancang untuk memecahkan Syria setelah kejatuhan rejim Basyar al-Assad. [7]
Donald Trump dan Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan mengenai perkembangan semasa yang berlaku di Syria dan Palestin. Trump bakal mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2025 nanti dan dijangka akan meneruskan dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada negara haram Israel. Ketika menjadi presiden pada penggal pertama, beliau mengisytiharkan Bukit Golan adalah milik Zionis Israel. [8]
Republik Islam Iran bakal membuka kembali kedutaannya di Damsyik, Syria dalam masa terdekat. Mengikut Hassein Akbari, Duta Iran ke Syria, setelah kejatuhan pemerintahan Basyar al-Assad pihak Hai’ah Tahrir al-Syam (HTA) yang mengetuai operasi membebaskan Syria bertindak mengawal kedutaan asing termasuk Iran daripada dicerobohi. Rebublik Islam Iran mempunyai hubungan yang baik dengan Syria sejak zaman pemerintahan Hafez al-Assad lagi dan satu-satunya negara yang menyokong Iran ketika perang Iran-Iraq pada era 1980-an dahulu. Hubungan erat antara Iran dan Syria berterusan di era Basyar al-Assad kerana menjadi akidah negara Iran bersama dengan mana-mana negara yang menentang Zionis Israel. Tindakan Iran menyokong Basyar al-Assad di era Arab Spring menyebabkannya dikutuk kerana bersekongkol dengan kezaliman regim Syria ke atas rakyatnya walaupun memberi alasan sokongannya itu kerana langkah strategik bagi menghalang dominasi dan agenda peluasan Zionis Israel. [9]
Zionis Israel terus menerus mengebom serta menduduki lokasi strategik di Syria kononnya untuk memastikan senjata peninggalan regim Basyar al-Assad tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Pemimpin utama HTS, Ahmad al-Syara’ menegaskan bahawa Israel menggunakan alasan yang tidak masuk akal serta melanggar undang-undang antarabangsa. [10]
Rejim Zionis Israel terus menerus melakukan serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat. Dalam serangan terbaru di Khan Yunous, Gaza telah meragut lebih daripada 15 orang yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita dan kanak-kanak. [11]
Tentera Amerika Syarikat dan Britain melancarkan serangan udara ke atas tempat-tempat strategik di Yaman sebagai tindak balas ke atas kerajaan Yaman di bawah pimpinan kumpulan Ansarullah yang melakukan serangan ke atas kepentingan Barat di Laut Merah sebagai respon terhadap tindakan kejam rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza. [12]
Pihak Berkuasa Palestin di bawah kepimpinan PLO tidak menghalang tentera Zionis Israel melakukan pencerobohan ke atas rakyat Palestin di kem pelarian Jenin. Semenjak perang 7 Oktober 2023 di Gaza, wilayah Tebing Barat termasuk Jenin juga bergolak apabila rakyat Palestin bangkit untuk bersoladiriti dengan saudara mereka di Gaza. Namun mereka berhalangan kerana wilayah tersebut ditadbir oleh pihak berkuasa di bawah kendalian PLO. Semenjak itu pertembungan antara rakyat Palestin dan pihak berkuasa PLO makin meningkat kerana sikap mereka yang bersekongkol dengan Zionis Israel melakukan intipin, tangkapan serta pembunuhan ke atas pejuang Palestin. [13]
Perkembangan semasa yang berlaku menunjukkan bahawa dunia Islam khususnya Timur Tengah menjadi fokus utama masyarakat antarabangsa. Dunia sedang menuju ke arah perubahan besar dalam masa terdekat yang akan membawa sinar kepada umat Islam insya-Allah.
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Luar Negara PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/12/2024
Rujukan:
[1] https://www.bbc.com/news/articles/cz6lgln128xo
[2] https://www.aljazeera.net/news/2024/12/15/عاجل-نتنياهو-سنواصل-التمسك-بالجولان
[4] https://www.aljazeera.net/news/2024/12/15/الجزائر-تستدعي-السفير-الفرنسي-بسبب
[5] https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/27/jenayah-perancis-terhadap-algeria/
[6] https://www.1media.my/2020/09/malaysia-sudah-merdeka-masih-ada-bumi.html
[7]
[8] https://www.raialyoum.com/نتنياهو-بحث-مع-ترامب-التطورات-في-سوريا/
[9] https://www.raialyoum.com/سفير-إيران-لدى-سوريا-هيئة-تحرير-الشام/
[10] https://www.raialyoum.com/إسرائيل-تقصف-أهدافا-عسكرية-في-منطقة-طر/
[11] https://www.aljazeera.net/videos/2024/12/16/15-شهيدا-بقصف-إسرائيلي-على-مدرسة-تؤوي
[12] https://www.aljazeera.net/news/2024/12/16/الأول-منذ-15-يوما-قصف-أميركي-بريطاني
[13] https://www.aljazeera.net/politics/2024/12/16/خبراء-عمليات-السلطة-الأمنية-في-جنين











