Masalah bekalan air terus bergema di Sidang DUN

Khususnya di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Penderitaan penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) yang menghadapi masalah bekalan air sejak enam tahun lalu masih belum dapat diatasi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

- Advertisement -

Kegagalan tersebut telah menjejaskan kualiti kehidupan ribuan penduduk tempatan dan lebih mengecewakan adalah janji yang dimungkiri pihak Kerajaan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Kecil N.20 Sungai Bakap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail yang diberi mandat oleh penduduk telah mengangkat isu tersebut ketika kali pertama beliau menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang baru-baru ini.

“Antara perkara utama yang saya bangkitkan ialah isu air di Mukim 5 Sungai Bakap. Sebagai langkah penyelesaian, saya cadangkan perbincangan segera diadakan antara Kerajaan Pulau Pinang dengan Kerajaan Kedah.

“(Iaitu) berkaitan tawaran Menteri Besar Kedah berhubung Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar untuk menyalurkan tambahan bekalan air sebanyak 10 hingga 15 juta liter sehari (MLD).

“Tawaran ini bertujuan membantu menangani krisis bekalan air di kawasan terjejas, termasuk di Mukim 5 dan sekitarnya,” katanya kepada Harakahdaily mengulas Persidangan DUN Pulau Pinang tersebut.

Beliau turut menyarankan agar pihak berwajib segera menerima tawaran ini atau menjalankan rundingan lanjut bagi memastikan masalah bekalan air yang berlarutan tidak terus membebankan rakyat.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kampung Sungai Duri, Taman Widuri, Taman Sungai Duri, dan Taman Seruling Emas. – HARAKAHDAILY 16/12/2024

- Advertisement -