Gerakan Islam perlu pemimpin pelapis untuk kekal relevan

- Advertisement -

BANGI: Pemimpin pelapis penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan dan kekuatan parti sebagai sebuah gerakan Islam yang kekal relevan dalam politik negara.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, perkara itu adalah dengan mempersiapkan pemimpin masa depan yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi.

“Ini bertujuan untuk mempersiapkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja tertumpu kepada generasi muda untuk mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi dalam 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Tetapi juga buat pimpinan pertengahan hari ini agar bersedia dan mampu memikul tanggungjawab dan amanah kepimpinan,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Kepimpinan Pelapis Agenda Utama Dalam Kepimpinan Masa Depan’ pada Liqa’ Fikri PAS Pusat yang diadakan di sini, hari ini.

Tambah beliau, pemimpin pelapis perlu memberi tumpuan kepada aspek seperti pengukuhan jiwa dan iman yang teguh.

“Kepimpinan pelapis ini tidak hanya diukur dari sudut kekuatan fizikal, kreativiti dan inovasi generasi muda, tetapi lebih kepada pengukuhan jiwa, minda dan iman yang teguh.

“Pemimpin pelapis PAS perlu memiliki benteng yang kukuh dalam mempertahankan akidah, syariat, dan maruah umat.

“Di samping itu, mereka harus menguasai pelbagai bidang ilmu yang diperlukan dalam konteks kepimpinan moden, termasuklah pendidikan politik, ekonomi asas, sistem perundangan negara dan geopolitik serantau,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2024

- Advertisement -