
BANGI: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan pentingnya pembaharuan dalam pemahaman agama Islam bagi menangani cabaran akidah dan ideologi moden yang semakin mencabar.
Beliau menyentuh isu pemahaman tauhid dan perbahasan sifat 20 yang menurutnya sering disalahertikan hingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam sendiri.
Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa sejak zaman Rasulullah SAW hingga era Khulafa’ al-Rasyidin, pemahaman agama Islam sentiasa diperbaharui apabila muncul cabaran baharu.
Sebagai contoh menurutnya, ketika berlaku peristiwa riddah (murtad) pada zaman Saidina Abu Bakar hingga tindakan tegas termasuk perang digunakan untuk menangani mereka yang menolak rukun Islam iaitu zakat.
Menurut Tuan Guru, umat Islam pada zaman Abbasiyah pula berdepan cabaran apabila buku-buku falsafah diterjemahkan, mengubah fokus daripada ilmu sains dan teknologi kepada perbahasan sifat-sifat Allah, seperti qadim dan azali.
“Maka kitab-kitab di masa itu banyak mengarang tentang perbalahan antara asy-Syairah, Maturidiah dengan Muktazilah dan lain-lain lagi. Duk bahas benda itu. Duduk bahas, balah dengan Muktazilah saja. Balah dengan Muktazilah. Jadi mengaji sifat sajalah.
“Masalah Uluhiyah, Rububiyah ini, alhamdulillah itu Uluhiyah. Rabbil Alamin itu Rububiyah. Ini ada dalam kitab tafsir. Kita tak belajar hari ini, kata tak ada. Padahal dia, kita tak mengaji. Tak mengaji tafsir Quran.
“Duk mengaji berbalah ini saja, balah dengan Muktazilah. Kadang-kadang Muktazilah itu tak dak dalam kampung itu seorang pun, tak dak,” katanya ketika berucap dalam Liqa Fikri PAS Pusat di sebuah hotel, di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam perlu memahami sejarah akidah dan mazhab untuk menangani isu akidah moden seperti Islam liberal, sekularisme, sosialisme, dan komunisme.
Ideologi itu katanya, sering disalahgunakan untuk merosakkan Islam dari dalam, termasuk oleh pihak yang bermudah-mudah dalam agama atau terlalu ekstrem hingga mengkafirkan sesama Muslim.
Beliau juga menyeru supaya pendekatan dakwah secara bijak dan berhemah digunakan untuk membetulkan pemahaman mereka yang terpesong daripada ajaran Islam.
Tuan Guru menekankan keperluan untuk memperluaskan pengaruh Islam, menyelamatkan umat yang terpesong, dan menggalakkan lebih ramai bukan-Islam memeluk Islam.
“Kita kena sedar kita nak ramaikan orang Islam. Nak selamatkan orang Islam kalau boleh orang bukan Islam masuk Islam. Kita tak paksa dia. Nak ramaikan (Orang Islam).
“Ini tidak, nak mengurangkan orang Islam kerana terlalu ekstrem,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2024











