Generasi muda perlu diperkukuhkan jati diri Islam

- Advertisement -

BANGI: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menekankan kepentingan usaha membentuk generasi muda beridentiti Islam yang jelas dan kukuh di tengah cabaran globalisasi serta pengaruh sosial semasa.

Beliau berkata, generasi hari ini berdepan krisis identiti berpunca daripada pelbagai faktor seperti ancaman liberalisme, ketidaktentuan sosial, kekurangan bimbingan agama, serta tekanan ekonomi yang mengutamakan budaya materialistik. 

Menurutnya, generasi muda menghadapi tekanan luar yang mencabar keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan nilai-nilai Islam.

“Oleh itu, proses perkaderan dalam gerakan Islam harus menumpukan kepada pembinaan generasi muda yang berjati diri Islam yang kukuh selari dengan nilai Islam sebenar,” katanya ketika berucap dalam Liqa’ Fikri PAS Pusat di sebuah hotel, di sini hari ini. 

Ahli Parlimen Bagan Serai itu juga menyuarakan kebimbangannya terhadap pengaruh budaya luar yang menyebabkan generasi muda kehilangan pegangan agama.

Beliau mengingatkan bahawa walaupun seseorang berjaya dalam bidang profesional seperti jurutera, peguam, atau akauntan, tetapi jati diri Islam perlu kekal utuh.

“Tapi cabaran kut mana pun ada. Sebab itu kita tengok kadang-kadang kita okey lah. Banyak kita tengok kan mak ayahnya bagus, pakaiannya bagus kan. Mak, ayahnya, pakaian ikut syariat semua. Anak belum tentu.

- Advertisement -

“Dia pun dah hilang krisis identiti dia. Kan? Kadang-kadang bila kita tanya, bukan dia kata ustaz tak tegur Anak ini dia tak mahu ikut kita. Ada hat tengah degil itu.

“Ada kawan saya pula cerita dia kata (anak) dia tak nak tukar pakaian hat pakai lagu (seperti) itu (melanggar syariat). (Dia telah ditegur) Jangan ikut (trend pakaian itu). (Anak) dia sanggup tak ikut. Asalkan dia tak mahu tukar pakaian hat yang (anak dia langgar syariat itu).

“Tak sakit kepala kita? Pening kepala ini generasi kita hadapi hari ini kan? Mereka terpaksa trend yang dibawa oleh orang kata apa oleh masyarakat yang berada di luar dan juga dalam era kini,” katanya. 

Ustaz Idris sehubungan itu menyeru ahli PAS untuk terus memberikan bimbingan kepada generasi muda supaya tidak tersasar dalam membina identiti Islam yang kukuh.

Beliau juga menegaskan bahawa usaha itu penting bagi memastikan generasi masa depan mampu mengharungi cabaran semasa tanpa mengabaikan jati diri mereka sebagai Muslim. – HARAKAHDAILY 14/12/2024

- Advertisement -