
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menjelaskan berhubung pemberian hak milik tanah kepada rakyat yang membuka tanah kerajaan.
“Memberikan hak milik tanah kepada rakyat yang membuka tanah kerajaan bermakna menggalakkan rakyat menerokai tanah kerajaan tanpa kebenaran.
“Sebelum saya pergi kepada kesimpulan berkaitan isu di atas, mari kita fahami beberapa senario,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.
Menurutnya, penerokaan tanah sudah lama berlaku sejak puluhan tahun yang lalu.
Katanya, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan berlakunya situasi tanah kerajaan dirintah secara haram dalam tempoh masa yang lama.
“Apabila rakyat telah ada di atas tanah kerajaan sama ada dengan mendirikan rumah kediaman atau membukanya sebagai kebun atau ladang untuk suatu tempoh masa, maka kita perlu ada formula penyelesaian yang harmoni.
“Tak boleh nak halau rakyat begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes apabila kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan pembangunan untuk tanah tersebut serta menepati dasar tanah negeri, antaranya berkaitan keluasan tanah yang diteroka.
“Kebun sawit tak lebih 5 ekar, tapak rumah tak lebih 1,000 meter persegi manakala bagi sawah padi dan kebun buah-buahan tak melebihi 2 ekar serta tempoh penerokaan mencukupi satu tempoh yang ditetapkan pihak berkuasa negeri, maka kerajaan negeri menetapkan tanah tersebut boleh dimohon hak milik di bawah Dasar Tanah Haram,” jelasnya yang juga ADUN Jabi.

Tambahnya, apabila semua syarat dipatuhi, maka tiada masalah bagi pihak kerajaan untuk meluluskan geran hak milik tanah tersebut.
Justeru, ujarnya beliau selalu mengingatkan pihak Pejabat Tanah Daerah supaya proaktif dalam mencegah sebarang kegiatan pencerobohan tanah kerajaan yang baru hendak berlaku dari peringkat awal lagi.
Katanya, apabila pokok sawit sudah besar, maka ia akan jadi rumit.
“Apa yang telah berlaku di zaman lepas kita mesti kerja keras untuk selesaikan kerana kelemahan penguatkuasaan di masa lalu sudah tak dapat diundur semula,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, bagi tanah-tanah yang diteroka dalam keadaan tidak menepati Dasar Tanah Haram seperti penerokaan tanah untuk tanaman sawit di sekitar daerah Setiu dengan keluasan mencecah puluhan ekar, malah ada yang sampai ratusan ekar, maka tidak dapat hendak bagi hak milik.
“Formula penyelesaian kita ialah, semua tanah ini dipajak kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu lalu kemudiannya disewa kepada peneroka asal supaya kerajaan negeri dapat menjana hasil sebagai ganti dari kehilangan premium dan cukai tanah,” katanya.
Tambah beliau, semua usaha itu adalah untuk memperbaiki apa yang telah berlaku masa lalu.
“Dalam masa yang sama, kita bagi peringatan tegas bahawa sebarang pencerobohan baru akan diambil tindakan,” kata beliau.
Justeru, jelas beliau, tidak ada istilah tanah tidak bertuan kerana selain daripada tanah yang telah diberikan hak milik, maka tanah-tanah lain ialah tanah kerajaan negeri.

“Tuannya ialah Kerajaan Negeri Terengganu.
“Bukan hanya rakyat malah Kerajaan Pusat juga kena mohon dengan kerajaan negeri bila nak guna tanah di negeri ini untuk apa-apa projek pembangunan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/12/2024











