
KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), menggesa kerajaan untuk meneliti semula mekanisme kepatuhan dan denda yang dikenakan terhadap pihak ketiga dalam Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024.
Beliau mempersoalkan keberkesanan pengauditan pihak ketiga yang terlibat dalam perkongsian data, terutamanya jika entiti tersebut beroperasi di luar negara.
“Siapa yang audit pihak yang ketiga itu, penerima data ataupun pemberi data?
“Kedua, bagaimana kalau pihak ketiga itu beroperasi di luar negara? Sebab bila di luar negara dia tidak tertakluk dalam undang-undang dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Data 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Afnan turut mempersoalkan nilai denda maksimum sebanyak RM1 juta yang dikenakan terhadap pihak ketiga sekiranya berlaku kebocoran atau ketirisan data.
Beliau menyifatkan jumlah tersebut tidak sepadan dengan potensi kerugian besar yang mungkin dialami oleh pemilik data.
“Saya rasa nilai itu sedikit Yang Berhormat Menteri, kerana jika diletakkan nilai itu sama dengan kos kerugian akibat kehilangan data itu lebih adil.
“Bayangkan kalau kita hilang data, mungkin nilai kerugian itu lebih daripada RM1 juta. Tapi dia didenda RM1 juta sahaja. Jadi kalau orang itu dia ada niat jahat, baik bayar denda RM1 juta sebab dia dapat untung banyak lagi.
“Ini saya rasa perkara yang perlu diberi perhatian semula dalam amaun denda RM1 juta tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











