Tubuh Suruhanjaya Pengawasan Bebas elak salah guna data

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Pengawasan Bebas bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkongsian data di negara ini. 

- Advertisement -

Beliau berkata, Fasal 9(2) dalam akta berkaitan memberikan kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Data untuk meluluskan atau menolak perkongsian data tanpa sebarang mekanisme pengawasan bebas. 

“Ini boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa. Kes yang berlaku dalam skandal Cambridge Analytica pada 2018 data berjuta-juta pengguna digunakan tanpa kebenaran untuk tujuan politik kerana ketiadaan mekanisme pengawasan bebas.

“Jadi saya mencadangkan untuk memantapkan lagi perlaksanaan akta ini tubuhkan Suruhanjaya Pengawasan Bebas yang bertanggungjawab secara bebas untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkongsian data,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Data 2024, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Marzuk turut menyentuh mengenai ancaman teknologi seperti insiden Pegasus pada 2021, apabila perisian yang dibangunkan oleh NSO Group dari Israel didedahkan mampu menceroboh telefon pintar pemimpin dunia, wartawan dan aktivis.

“Apa sahaja aplikasi yang ada itu boleh diceroboh termasuk WhatsApp kami pun kami bimbang, sebab kami rancang macam-macam tiba-tiba bocor keluar.

“Adakah agensi-agensi di bawah kerajaan pada hari ini mempunyai data-data spyware seperti itu yang boleh menerobos masuk kepada grup-grup WhatsApp termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang dan politik ini.

“Ini pernah berlaku dalam kes Pegasus pada tahun 2021 yang didedahkan dan menggemparkan dunia,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks ini, ancaman kes Pegasus menunjukkan betapa pentingnya kawalan ketat perkongsian data terutamanya kepada pihak ketiga.

“Saya cadangkan supaya diwajibkan audit keselamatan siber berkala terutama kepada semua pihak ketiga yang menerima data dan pastikan semua data yang dikongsi menggunakan penyulitan canggih untuk melindungi daripada akses yang tidak sah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -