
KOTA BHARU: Urus Setia Penghulu Kelantan memperkukuhkan sebanyak 636 mukim di negeri ini dengan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan Komuniti (JPKK).
Pengarahnya, Zulkifli Mamat berkata, JPKK mempunyai tujuh orang keanggotaan membabitkan pelbagai segmen rakyat termasuk golongan agamawan dan aktivis masyarakat.
Beliau berkata, jawatankuasa itu turut mempunyai portfolio seperti sosial, ekonomi, pertanian, hiburan, sukan dan sebagainya untuk dianggotai penduduk tempatan yang berkelayakan.
“Saya kata JPKK ini perlu diperkukuh, kita telah putuskan kita akan teruskan jawatankuasa sebelum ini telah ada JPKK, JPKK ini semua mukim kena ada, keahlian, pengerusinya penghulu.
“Dia kena lantik setiausaha, bendahari dan wakil masyarakat, kita syorkan juga kena ada orang agama,” katanya dalam satu sesi bual bicara ‘Sisi Pandang’ oleh Institut Pemikiran Tok Guru.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong itu mula dilantik pada jawatan tersebut pada bulan Ogos lalu mengantikan Jamaluddin Ishak yang bersara wajib.
Beliau berkata JPKK itu diwujudkan bagi mengantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang kini dikenali Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.
Menurut beliau konsep lama tetap diteruskan termasuk keahlian JPKK membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) membabitkan parti PAS, Gerakan dan Bersatu.
Media sebelum ini melaporkan JPKK di Kelantan mempunyai seramai 11 ahli jawatankuasa akan dilantik di samping pengerusinya akan dipilih dalam kalangan penghulu mukim. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











