Mengapa insurans perubatan naik 40 hingga 70 peratus?

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), mempersoalkan jurang besar dalam kenaikan premium insurans perubatan berbanding kadar inflasi yang dilaporkan secara rasmi oleh kerajaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Oktober 2024, kos penjagaan kesihatan hanya meningkat sebanyak 1.4 peratus, manakala kos insurans dalam perkhidmatan kewangan pula naik sebanyak 0.5 peratus. 

“Mengapa wujud jurang kenaikan insurans premium perubatan sehingga 40 hingga 70 peratus akibat kadar inflasi perubatan yang tinggi seperti yang diperakui oleh BNM? Sedangkan kadar inflasi rasmi yang dikeluarkan oleh DOSM sendiri bagi subsidi kesihatan hanya naik sekitar 1.4 peratus,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada angka-angka inflasi tersebut mencerminkan situasi sebenar di lapangan.

Ahmad Yunus turut menyatakan sokongan terhadap usaha mempercepatkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan (DRG).

“Saya setuju jika DRG ini dipercepatkan dan hasilnya dapat memberi manfaat kepada negara kita. Adakah kerajaan juga mempertimbangkan berkaitan premium yang lebih rendah, caruman yang munasabah, dan pembiayaan caj yang mampu dibayar oleh rakyat?” 

Beliau menegaskan keperluan untuk memastikan rakyat mendapat rawatan terbaik melalui sistem yang lebih teratur dan mampu milik. 

Dr. Ahmad Yunus juga menyentuh langkah kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pihak komersial yang perlu dipertingkatkan. 

“Dengan usaha ini, saya kira ia boleh memberikan manfaat kepada pakar-pakar dan pegawai perubatan di sektor komersial serta membantu mengawal caj rawatan yang dikenakan,” tambahnya. 

Beliau berharap sistem pembiayaan kesihatan kebangsaan yang dirancang akan mempermudah rujukan pesakit kepada sektor swasta serta memastikan rawatan yang berkualiti dan berpatutan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya berkata, kos rawatan di hospital swasta meningkat disebabkan oleh kenaikan harga ubat, peralatan baru, dan kadar upah, namun terdapat persoalan mengenai ketepatan kos ubat serta cadangan untuk membeli secara pukal bagi mengurangkan beban kos. 

Menurutnya, terdapat keperluan untuk kawalan terhadap keuntungan yang tidak munasabah melalui pindaan akta dan pengenalan sistem pengawalan seperti Diagnosis-Related Groups (DRG) untuk memastikan kos tetap berpatutan. 

Tambahnya, walaupun kenaikan kos dianggap munasabah dibandingkan dengan negara jiran dan Malaysia masih menjadi destinasi pilihan untuk pelancongan perubatan, kawalan diperlukan untuk mengelakkan kesan kepada inflasi dan beban kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -