Sanusi lepas, bebas satu daripada dua pertuduhan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas satu pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor.

- Advertisement -

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan Sanusi bagi membatalkan dua kes terbabit.

Sementara itu, peguam mewakili Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, pihaknya menjunjung kasih ke atas Sultan Selangor atas perkenan baginda untuk menerima permohonan maaf daripada menteri besar itu.

“Pihak pembelaan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di atas perkenan dalam perkara ini,” katanya kepada media di ruang legar mahkamah selepas keputusan, di sini tadi.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bagaimanapun akan kekal dibicarakan di atas pertuduhan menghasut berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan melibatkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bicara telah ditetapkan pada 24 hingga 28 Februari 2025. Jadi dalam tempoh lima hari itu, kita akan teruskan perbicaraan dan kita akan dengar apa keterengan-keterangan saksi yang akan dikemukakan,” tambah Awang.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah itu menghadapi dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menerusi satu kempen politik di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam pada 11 Julai tahun lalu. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -