
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memperkenalkan inisiatif Perlisku Bestari Anjung Madinah sebagai langkah progresif untuk memupuk perpaduan kaum dan agama melalui nilai-nilai Islam yang inklusif.
Inisiatif ini berasaskan model Madinah al-Munawwarah, dengan fokus kepada keadilan sosial dan tadbir urus yang berprinsipkan Islam.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, ia bertujuan untuk mempereratkan hubungan antara Perlis dan Bandaraya Madinah, melalui program Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Perlis-Madinah.
“Program ini melibatkan kerjasama universiti, pertukaran pelajar, serta latihan kepimpinan Islam yang berfokus kepada penyelidikan bersama dan pengayaan ilmu antara kedua-dua komuniti.
“Ini bukan sahaja akan memperkaya kefahaman mengenai Islam, tetapi juga membina rangkaian antarabangsa yang kukuh antara kedua-dua wilayah,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Selain itu ujarnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, kerajaan negeri juga mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf Masjid Padang Besar Lama melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), bertujuan meningkatkan keselesaan jemaah.
“Peruntukan RM750,000 juga disediakan untuk kerja pendawaian semula elektrik di lima masjid terpilih.
“Dalam usaha memperkukuh amalan keagamaan, kerajaan turut melancarkan kempen Jom Solat yang menggalakkan kefarduan solat lima waktu serta program Jaulah Subuh, di mana pemimpin negeri akan turut serta dalam solat berjemaah,” katanya lagi.
Mohd Shukri menegaskan, inisiatif Perlisku Bestari Anjung Madinah adalah manifestasi komitmen Perlis untuk membina negeri yang inklusif, harmoni, dan berlandaskan prinsip keadilan. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











