Bahagian Pendidikan JAKIM wajar dinaik taraf

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya menaik taraf Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah jabatan yang berasingan bagi mengurus pendidikan agama.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, menurut statistik yang dikeluarkan sehingga Oktober lalu, mencatatkan seramai 280,000 pelajar di sekolah rendah, menengah, madrasah dan tahfiz.

Selain itu kata beliau, ia turut membabitkan 1.3 juta pelajar dan 30,000 tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh negara yang memerlukan perhatian serius pihak kerajaan.

“Bahagian Pendidikan Islam JAKIM ini lebih kurang ada 38 kakitangan yang sangat kecil untuk mengurus jutaan pelajar ini jadi sudah pasti ada kekangan dan kelemahan urusan pentadbiran ini.

“Soalan saya adakah kementerian bercadang untuk mewujudkan satu jabatan khusus iaitu Jabatan Pendidikan Islam bagi menguruskan pelajar dan guru yang ramai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Malah beliau berkata, sebahagian institusi pendidikan melaksanakan KAFA, pondok, madrasah dan tahfiz berada di bawah kelolaan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Agama Islam negeri. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -