
PASIR PUTEH: Dalam misi bantuan mangsa banjir DUN Gaal, suasana kebersamaan yang terjalin antara Ustaz Mohd Rodzi Jaafar, penghulu mukim, dan sukarelawan cukup menginspirasikan.
Langkah demi langkah, mereka bersama-sama bagi menghulur sumbangan seperti keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga yang terkesan akibat banjir gelombang pertama.
Ustaz Rodzi berkata, setiap kampit beras yang diatur bukan hanya sekadar makanan, tetapi simbol kasih dan keprihatinan terhadap rakyat yang sedang diuji.
“Di tengah musibah ini, kita perlu terus bersatu hati demi meringankan beban mangsa,” katanya.
Terdahulu Rodzi meninjau ke Kampung Batu Hitam, untuk melihat kesan kemusnahan besar akibat banjir.
Tanah yang dahulu menjadi tempat bermain anak-anak kini dipenuhi lumpur dan serpihan papan.
Beliau menegaskan bahawa impak pembinaan laluan ECRL yang tidak dirancang dengan teliti, termasuk ketiadaan jejambat mencukupi, telah memburukkan situasi banjir di kawasan itu.
“Saya akan terus berusaha memperjuangkan isu ini dan menggesa tindakan segera pihak berwajib untuk memastikan tragedi ini tidak berulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2024












