
PASIR PUTEH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ga’al, Ustaz Mohd Rodzi Ja’afar melawat Jeram Linang, di sini semalam.
Jeram Linang merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal yang terkesan teruk akibat banjir baru-baru ini.
Dalam lawatannya, beliau melihat sendiri kerosakan meluas termasuk struktur pelancongan, laluan pejalan kaki, dan kemudahan awam.
Ketika dihubungi beliau memaklumkan, kawasan ini memerlukan perhatian segera untuk dipulihkan agar kembali menjadi tarikan utama pelancong.
Jelasnya, jeram ini sering menjadi tumpuan masyarakat khususnya pada hujung minggu untuk berkelah bersama keluarga.
“Jeram Linang bukan sahaja khazanah alam yang berharga bagi penduduk setempat tetapi juga sumber ekonomi untuk peniaga kecil dan masyarakat sekitar. Kita akan usahakan langkah pemulihan segera,” ujarnya.
Beliau turut menghargai usaha sukarelawan dan penduduk yang bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut.
Menurutnya, semangat kerjasama ini amat penting dalam memastikan pemulihan dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan.
Beliau juga menegaskan, kepentingan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, untuk membangunkan semula Jeram Linang dan mengembalikan keindahannya seperti sediakala.
Beliau berharap langkah ini dapat mengembalikan tarikan pelancongan di kawasan tersebut yang turut menjadi nadi ekonomi kepada penduduk sekitar. – HARAKAHDAILY 8/12/2024












