
ROMPIN: Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata program Jelajah PAS Teraju Pahang membuahkan hasil yang positif.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang itu, masyarakat menerima kehadiran petugas parti dengan baik walaupun terdapat sebahagian yang kekal dengan parti mereka.
“Kita dapat melihat perubahan dan mereka dapat menerima kehadiran kita dengan baik walaupun sebahagian daripada mereka ada yang kekal dengan parti mereka, tetapi kita dapat menyantuni mereka dengan baik,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa program ziarah tersebut berjaya mengumpulkan 14 borang permohonan baru untuk menjadi ahli PAS.
“Ini menunjukkan adanya sokongan yang positif dari kalangan masyarakat setempat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur.

Dalam masa yang sama, katanya pengundi yang dikunjungi turut memberikan maklum balas mengenai isu semasa, terutamanya berkaitan gabungan Umno dan DAP.
“Kebanyakan pengundi yang kita ziarah ini memberi respons terhadap isu gabungan Umno dan DAP. Mereka sangat tidak bersetuju dengan gabungan tersebut,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera yang telah bekerja keras menjayakan program itu.
Jelasnya, PAS akan terus melaksanakan gerak kerja seperti itu secara berterusan untuk mendekati rakyat dan menguatkan hubungan dengan masyarakat.
Program Jelajah PAS Teraju Pahang turut melibatkan ADN dari seluruh negeri termasuk Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin yang juga ADN Bukit Ibam., Ustaz Nazri Ahmad.
Program tersebut yang diadakan di DUN Bukit Ibam, bertempat di Felda Keratong 7, semalam mencatatkan kejayaan besar.
Siri jelajah itu yang bermula dengan ceramah mendapat sambutan menggalakkan, diikuti dengan aktiviti ziarah sekitar Felda Keratong 7 termasuk rumah ahli Umno dan pengundi atas pagar, telah mencapai sasaran yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 8/12/2024











