Pencerobohan bot pukat tunda: Jangan meleret dengan isu lain

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Bagi saya, kita fokus kepada isu asal dan jangan meleret dengan isu lain yang tak berkenaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan dalam satu mesyuarat antara exco-exco pertanian negeri bersama Menteri Pertanian, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau membangkitkan isu pencerobohan nelayan pukat tunda dari negeri jiran dengan bot tenda kuning yang menceroboh zon tangkapan nelayan Terengganu, merosakkan bubu dan unjam milik nelayan tempatan serta telah menjejaskan sumber pencarian nelayan tempatan.

“Dijawab oleh exco pertanian dari negeri berkenaan. Nelayan sama-sama nak cari makan. Janganlah ditimbulkan isu perairan negeri itu dan ini.

“Rakyat Terengganu pun ramai yang kerja cari rezeki kerja di negeri dia. Begitulah kiranya jawapan Exco Pertanian dari negeri tersebut,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial miliknya, malam tadi.

Justeru, bagi beliau perlu difokuskan kepada isu asal mengenai pencerobohan zon tangkapan nelayan dan jangan meleret dengan isu lain yang tidak berkenaan.

Jelasnya, Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa dari garisan gigi air sehingga jarak 12 batu nautika ialah zon tangkapan nelayan negeri berkenaan.

Tambahnya, lebih dari jarak 12 batu nautika sehingga sampai sempadan antarabangsa, mana-mana bot nelayan dari mana-mana negeri adalah dibenarkan untuk menangkap ikan.

“Bila saya sebut, bot nelayan tenda warna kuning menceroboh zon tangkapan nelayan Terengganu bermakna bot pukat tunda zon C dan C2 dari negeri jiran melakukan aktiviti pukat tunda di perairan Terengganu kurang dari jarak 12 batu nautika dari Pantai,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, mereka telah melakukan dua kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di zon yang dikhususkan untuk nelayan negeri tersebut dan melakukan aktiviti pukat tunda di zon yang tak dibenarkan.

Tambah Dr Azman, zon yang dibenarkan aktiviti pukat tunda ialah jarak 12 batu nautika ke atas.

Beliau berkata, bukan hanya nelayan negeri jiran malah nelayan Terengganu juga tidak dibenarkan menggunakan pukat tunda dalam zon kurang daripada 12 batu nautika.

“Dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang saya sertai sendiri, banyak bot pukat tunda tenda kuning negeri jiran yang kita telah tahan sedang menunda hanya pada jarak 6 atau 7 batu nautika sahaja dari pantai Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, itu adalah zon tangkapan nelayan sampan zon A Negeri Terengganu.

“Dalam zon inilah kita labuhkan tukun dan unjam. Mari pukat tunda mereka kokok habis! Tekong dan krew bot warga asing kebanyakannya dari Myanmar,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah pemilik bot pukat tunda negeri jiran tidak memahamkan tekong dan kru bot mereka dengan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Undang-undang ini bukan Kerajaan Terengganu yang buat,” katanya yang juga ADUN Jabi.

Dr Azman Ibrahim

Beliau menjelaskan, apabila disebut Akta Perikanan 1985 bermakna ia digubal di Parlimen sementara undang-undang yang digubal di Dewan Undangan Negeri dipanggil enakmen.

“Kita perlu uruskan setiap permasalahan dengan punca kuasa yang sedia ada. Penguatkuasaan juga mesti di bawah akta sedia ada.

“Jangan kita divert isu dengan ungkit hal lain. Rakyat negeri lain pun ramai kerja di Terengganu tapi bukan itu isunya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/12/2024

- Advertisement -