Gelombang kedua banjir, penduduk diminta waspada

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan dijangka berdepan risiko banjir susulan amaran terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, beberapa kawasan rendah di sekitar Lembangan Sungai Kelantan diramalkan terjejas akibat limpahan air sungai yang dijangka berlaku mulai 9 hingga 13 Disember ini.

Menurutnya, antara jajahan yang berisiko ialah Gua Musang, Tanah Merah, Machang, dan Kuala Krai.

“Hujan lebat berterusan dijangka meningkatkan paras air sungai, menyebabkan kemungkinan banjir di kawasan rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, memantau keadaan semasa, dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta berpindah.

“Utamakan keselamatan diri dan keluarga. Elakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa.

“Sebagai rakyat Kelantan yang prihatin, kita harus bersedia lebih awal menghadapi kemungkinan banjir,” tambah beliau.

Ketika  menghadapi situasi ini, Izani turut menyeru semua pihak agar berganding bahu membantu mangsa yang terkesan.

“Marilah kita hulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk keperluan asas, sokongan moral, atau apa sahaja yang termampu.

“Ingatlah, banjir bukan sekadar air yang melimpah tetapi tentang bagaimana kita bersatu sebagai komuniti yang saling menyokong,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa ujian seperti ini memerlukan ketabahan dan semangat kebersamaan.

“Hanya Allah yang mampu membalas setiap usaha kebaikan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk di kawasan terjejas disaran sentiasa merujuk sumber rasmi untuk maklumat terkini bagi memastikan langkah keselamatan dapat diambil dengan segera. – HARAKAHDAILY 8/12/2024

- Advertisement -