
KANGAR: Perlis melakar sejarah sebagai tuan rumah Festival Warisan Nusantara 2024 (Warisan ’24) acara kebudayaan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok di Dewan Wawasan 2020, di sini.
Festival ini dianjurkan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dengan matlamat mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan unggul.
Ia juga menjadi platform memperkenalkan keunikan budaya dan warisan tempatan kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
Acara ini dianjurkan oleh Geliong Venture Sdn Bhd dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Persatuan Sains Sukan dan Rekreasi (SPORTREC) UiTM Perlis.
Juga Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Festival ini dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menunjukkan komitmen institusi diraja terhadap pemeliharaan warisan dan budaya.
Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang festival, antaranya ialah Explorace Jejak Warisan yang membawa peserta menjelajah lokasi bersejarah di Perlis sambil menyelesaikan cabaran interaktif.
Demonstrasi permainan tradisional seperti wau dan gasing turut memeriahkan suasana, memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri permainan tersebut.
Bagi yang berminat mendalami seni tradisional, bengkel cantingan batik diadakan untuk peserta mencuba sendiri seni halus yang menjadi simbol warisan Malaysia.
Tidak ketinggalan, Warisan Fun Run, acara larian santai yang menggabungkan elemen budaya dan keindahan alam Perlis.

Festival ini juga mempamerkan demonstrasi masakan warisan yang menampilkan keunikan kulinari Perlis dan Kedah.
Di samping itu, pameran khas MAIPs membawa koleksi istimewa tentang adat istiadat Melayu dan Islam yang memberikan pengalaman mendalam kepada pengunjung.
Persembahan kebudayaan pula memukau dengan keindahan seni tradisional, sementara Sembang Santai Warisan menjadi platform diskusi interaktif tentang pemeliharaan budaya tempatan.
Satu lagi elemen istimewa adalah Jelajah Warisan yang diperkenalkan dengan kerjasama LOCCO Event Management.
Menggunakan konsep Keretapi Sarong, ia mengajak orang awam untuk menyertai perjalanan interaktif yang sarat dengan elemen tradisi.
Festival ini turut melancarkan projek inovatif, Jati of Perlis – Warisan Semulajadi, yang mengetengahkan potensi pokok jati sebagai aset ekonomi dan kelestarian alam.
Projek ini dijangka menjadi kebanggaan rakyat Perlis, setanding dengan populariti Harum Manis.
Tarikan personaliti seperti Fendi Foodie, Pinat Review, dan Aizat Hafiz turut memeriahkan festival ini dengan mempromosikannya melalui platform digital, menarik perhatian generasi muda terhadap budaya dan tradisi Nusantara.
Dengan pelbagai aktiviti dan sokongan pelbagai pihak, Warisan ’24 dijangka memberi impak besar dalam memupuk kesedaran budaya, menjana ekonomi, dan mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. – HARAKAHDAILY 7/12/2024














