Kerajaan perlu berani dedah kebenaran

Titah Adendum

Mustaman Mustain
- Advertisement -

TAWAU: PAS Sabah menggesa kerajaan bersikap berani dan telus untuk mendedahkan kebenaran sebenar berikutan isu ‘titah adendum’ yang dilihatkan bersifat kontroversi melibatkan institusi kehakiman negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain, berkata kerajaan perlu berani mendedahkan kebenaran bagi menyangkal kewujudan ‘tangan ghaib’ yang mengganggu institusi kehakiman.

“Perkara ini menjadi kronik apabila anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Nizar, memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya mengenai kewujudan titah tambahan supaya bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara menerusi penahanan rumah.

“Sebaliknya pada masa sama, kerajaan Pusat masih berdolak-dalik tidak mendedahkan bukti secara dokumen bagi menafikan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan media di media sosial, hari ini.

Mustaman berkata, keengganan kerajaan mendedahkan bukti yang jelas dengan mendakwa ia hanya ‘hearsay’ (khabar angin), bahkan tidak menjelaskan ketika disoal di Parlimen.

Katanya, ini mengundang persepsi negatif dan menurunkan tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta institusi kehakiman, sekali gus memburukkan imej kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya telus dalam isu itu bagi mengelakkan kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan campur tangan politik dalam proses kehakiman.

“Rakyat tidak mahu wujud ‘tangan ghaib’ yang mengganggu keputusann kehakiman yang sepatutnya adil untuk semua kelompok selaras dengan keluhuran Perlembagaan yang menjamin pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“PAS Sabah juga mendesak agar isu ini diselesaikan segera, terutamna kerana melibatkan institusi diraja yang merupakan payung negara.

“Kegagalan menangani isu dengan bijaksana secara tidak langsung akan menyebabkan institusi diraja dipandang serong oleh masyarakat sekali gus mencemar nama baik institusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mendedahkan bukti yang ada dan menjelaskan kedudukan sebenar mengenai ‘titah adendum’ itu. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -