
KOTA BHARU: Program Misi Sukarelawan MESRA Gonyoh Gaha yang dijalankan sepanjang empat hari di beberapa kawasan di Kelantan telah berjaya mencapai matlamatnya.
Dengan kekuatan petugas hampir 60 sukarelawan itu mereka juga menyantuni masyarakat terkesan akibat bencana berkenaan.
Setiausaha MESRA, Syamimi Ab Manaf berkata, pogram ini melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk mahasiswa dan anggota komuniti setempat.
Katanya, setiap hari misi ini berlangsung di lokasi berbeza dengan penglibatan tenaga kerja sukarelawan yang signifikan juga berbeza.
Menurutnya, MESRA memulakan operasinya menerusi program Gonyoh Gaha ini bermula 4 Disember lepas di Tumpat dan Rantau Panjang, dengan disertai 16 sukarelawan MESRA.
Juga 40 mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) PC yang melapor diri di Pejabat Parlimen Rantau Panjang.
“Aktiviti termasuk membantu penduduk di Perumahan Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat, dengan penglibatan 20 tenaga kerja.
“Trip ke 2 pada 5 Disember pula misi diteruskan ke Pasir Mas, di mana sukarelawan menjalankan aktiviti di SK Othman Talib II dan membantu penduduk di Gelang Mas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, seramai 16 sukarelawan MESRA mengambil bahagian dalam aktiviti ini, manakala trip ke 3 iaitu semalam pula, sukarelawan menyasarkan Rantau Panjang dan Tumpat.
Jelasnya, aktiviti termasuk 19 sukarelawan membantu di Pejabat Parlimen Rantau Panjang serta membersihkan kawasan SK Teluk Jering, Pengkalan Kubor dan rumah penghulu di Simpangan yang melibatkan kekuatan anggota 26 sukarelawan.
“Hari terakhir misi hari ini menyaksikan 20 sukarelawan membantu di Pejabat Parlimen Rantau Panjang.
“Di Tumpat, tenaga kerja seramai 11 sukarelawan melaksanakan aktiviti di Masjid Teluk Jering, Pasti Kajang Sebidang, dan SK Bendang Pak Yong,” katanya.
Shamimi berkata, inisiatif ini bertujuan meringankan beban masyarakat yang terjejas, selain mengukuhkan semangat kerjasama antara komuniti.
“Kami amat berterima kasih kepada semua sukarelawan yang menjayakan misi ini. Komitmen mereka menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Misi ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada usaha sukarelawan lain dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang terjejas. – HARAKAHDAILY 7/12/2024













