Muslimat serlah bakat zahir cinta kepada Rasulullah

- Advertisement -

ARAU: Program Muslimat Arau Cintai Rasul melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pauh, Tambun Tulang, Simpang Empat, Guar Sanji dan Sanglang berjaya membuka ruang kepada muslimat menyerlahkan bakat terpendam mereka.

- Advertisement -

Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memupuk ukhuwah antara peserta yang menyerlahkan persembahan kreatinisebagai menjadi tarikan utama program yang diadakan di Balai Islam MADI, Jejawi, di sini hari ini

Lebih 200 peserta hadir dalam program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga hampir jam 12 tengah hari ini dengan acara dimulakan oleh Majlis Khatam, Selawat, Tahlil, dan Doa, bertujuan menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam kalangan hadirin.

Forum bertajuk ‘Kebangkitan Muslimat’ menjadi kemuncak program yang membincangkan peranan besar wanita dalam membawa perubahan masyarakat ke arah kebaikan, sekali gus memperkasakan mereka pada aspek spiritual, bakat dan keprihatinan sosial.

Antara acara menarik juga ialah persembahan pentomen bertajuk ‘Wanita’ yang mengisahkan pengorbanan tokoh wanita Islam dalam menyebarkan agama ke seluruh dunia.

Persembahan ini mendapat sambutan hangat sehingga ada penonton yang menitiskan air mata kerana tersentuh dengan mesejnya dan sebagai penutup, peserta diraikan dengan pemberian cenderahati dan jamuan makan.

Program ini bukan sahaja memberi pengisian rohani tetapi juga menyatukan komuniti wanita Muslimat di kawasan ini. – HARAKAHDAILY 07/12/2024

- Advertisement -