Menteri Besar perlu segera ambil tindakan titah Sultan

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan membangkitkan masalah kebersihan di Bandar Raya Diraja Klang.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, pihaknya bersetuju bahawa masalah banjir yang kerap berlaku di Selangor kebelakangan ini tidak boleh hanya dikaitkan dengan masalah perubahan iklim dan hujan lebat semata-mata.

“Kerajaan negeri perlu segera menyelesaikan masalah projek tebatan banjir yang masih banyak tertangguh agar dapat menumpukan kepada penyelesaian lain yang lebih baik dan holistik dengan kemampuan kewangan yang ada di negeri ini.

“PAS Selangor berharap agar kerajaan negeri mengambil perhatian atas pesan dan amaran oleh Sultan Selangor kerana tiada alasan patut dipanjangkan atas ketidakcekapan urus tadbir negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abdul Halim dalam pada itu berharap, Menteri Besar mengambil teguran membina dititahkan Sultan Selangor berkenaan masalah yang berlaku di negeri itu.

Katanya, Sultan Selangor kesal dan dukacita akibat kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari,p menggunakan alasan banjir yang berlaku berpunca daripada perubahan cuaca dan hujan lebat luar biasa disebabkan takdir Tuhan.

“Baginda juga meluahkan rasa penat dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak mahu mendengar nasihat baginda, umpama mencurahkan air ke daun keladi sahaja.

“Menteri Besar seharusnya mengambil teguran membina baginda Sultan untuk kebaikan bersama. Adakah kerajaan tidak serius memikirkan kesusahan rakyat akibat banjir?

“Banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah turut berisiko menyebabkan kehilangan nyawa rakyat jelata. Banjir besar di Selangor pada Disember 2021 yang lalu patut menjadi iktibar.

“Ia bukan sahaja hampir melumpuhkan sebahagian besar negeri Selangor, bahkan turut menelan kerugian hampir RM1.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, masalah banjir tetap berlaku saban tahun walaupun kerajaan negeri telah memperuntukkan jutaan juta ringgit bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Jika diteliti, saban tahun kerajaan terus memberi fokus terhadap peruntukan banjir ini. Sebagai contoh, sewaktu mengumumkan belanjawan Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

“Kerajaan memperuntuk sebanyak RM34.27 juta dalam memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan projek tebatan banjir di negeri ini bagi tahun 2025.

“Malahan, Kerajaan Pusat juga turut memberi perhatian terhadap isu ini dengan meluluskan lima projek tebatan banjir berimpak tinggi dengan kos RM2.25 bilion di Selangor,” ujarnya.

Justeru, Abdul Basith menggesa pihak kerajaan negeri untuk turut mengambil cakna luahan rakyat yang mahukan hasil dan bukannya memberikan alasan semata-mata.

“Walaupun sudah begitu banyak wang disalurkan untuk tujuan mengatasi masalah banjir ini, namun hakikatnya kerajaan seakan-akan tidak begitu memberi komitmen menyelesaikannya.

“Tidak sepatutnya kejadian sembilan projek tebatan banjir ‘sakit’ berlaku sekiranya kerajaan negeri mendengar nasihat Baginda Sultan dan mengambil cakna luahan rakyat yang mahukan hasil, bukan alasan,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor mencemar duli merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim di Klang dan dalam titah baginda kesal dukacita terhadap masalah pencemaran sungai dan kawasan yang kotor dengan sampah sarap di bandar berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -