Fokus bangunkan bola sepak negeri meski PFA digantung

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis memberi jaminan akan membangunkan program bola sepak mengikut acuan sendiri meskipun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) digantung keahliannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Mohd Ridzuan Hashim berkata, aktiviti bola sepak di negeri itu masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

“Jika dilihat daripada bidang kuasa PFA, ia hanya digantung oleh FAM, di mana segala agenda atau pelaksanaan berkaitan FAM tidak dapat dilakukan.

“Namun, di peringkat negeri, aktiviti bola sepak tetap berjalan seperti biasa, termasuk pertandingan bola sepak peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengan wakil PFA bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa.

“Saya tidak mahu komen panjang berhubung penggantungan PFA ini, cuma saya masih menunggu kunjungan pihak PFA untuk kita berbincang bersama dalam segala hal berkaitan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Selain itu, beliau menzahirkan komitmen untuk bertemu dengan semua entiti sukan di bawah belia bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka demi memajukan sukan di Perlis.

“Misi saya adalah untuk mendengar idea mereka dan membawa sukan di Perlis maju dengan cara tersendiri.

“Malah, kita bercadang menubuhkan pasukan bola sepak baharu dengan semangat baharu, bukan di bawah PFA lagi, menuju ke arah Liga Super Malaysia,” tambahnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM bertindak menggantung keahlian PFA kerana gagal menyelesaikan isu pembayaran gaji tertunggak dan pampasan kepada bekas pemain Swansea City FC, Matt Holland, yang pernah dilantik sebagai Pengarah Bola Sepak Negeri. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -