Henti trend sebar konflik keluarga di media sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbuatan merakam dan menyebarkan konflik rumah tangga di media sosial yang dilakukan segelintir masyarakat adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin berkata, Rasulullah SAW mencela perbuatan mendedahkan aib rumah tangga.

“Kan dah malu satu Malaysia. Ibu ayah dan mentua keluarga pun akan terpalit malu sama. Netizen pula bila tengok, responnya sukar dijangka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Beliau berkata, konflik kecil dalam rumah tangga seperti suami berleter atau isteri mengadu penat adalah perkara biasa dan boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu melibatkan pihak luar.

“Tapi kita netizen, boleh tafsir macam-macam. Daripada selesai cara baik, tidak kena gaya bawa mudarat pula pada hubungan.

“Boleh tak belajar dulu, ‘seni’ bagaimana nak ‘bincang’, bagaimana ‘sabar’, bagaimana ‘layan kerenah’, bagaimana ‘jaga maruah’ dan lain-lain sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, terdapat situasi di mana membuka aib dibenarkan, namun hanya dalam keadaan tertentu seperti yang dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi.

“Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.

“Seterusnya, mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.

“Selain itu, meminta fatwa daripada mufti. Di samping, memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti,” katanya.

Tambah beliau, menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, namun haram membuka aib berserta kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan kecuali atas tujuan tertentu.

“Akhir sekali, menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang suami sedang membebel dan memarahi isteri ketika berada di rumah.

Video tersebut dirakam dan dimuat naik sendiri oleh si isteri sehingga didengari suaminya meluahkan rasa kurang senang kerana merasakan si isteri tidak menjalankan tugas dengan baik. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -