Titah Adendum: Elak spekulasi, tuntut kerajaan telus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) memandang serius kontroversi yang tercetus berhubung dakwaan ‘Titah Adendum’ berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, sebagai sebuah entiti yang menjunjung prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, DHPP menegaskan tiga perkara. 

Pertamanya beliau berkata, kerajaan perlu segera memberikan penjelasan yang jelas dan telus terhadap dakwaan itu.

“Menyifatkan isu ini sebagai ‘khabar angin’ tanpa sebarang bukti dokumentasi yang kukuh hanya menambahkan spekulasi dan kekeliruan dalam kalangan rakyat. 

“(Keduanya) Sebarang perbahasan mengenai tindakan atau keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dilakukan dengan penuh hormat mengikut lunas perlembagaan.

“Sebarang tuduhan tanpa asas terhadap institusi ini hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara ketiga menurutnya, kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem kehakiman dan keadilan negara mesti sentiasa dijaga.

Balachandran berkata, kerajaan wajib memastikan bahawa sebarang isu yang melibatkan badan kehakiman atau Lembaga Pengampunan diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan bebas daripada campur tangan politik. 

Beliau menyeru kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dalam memulihkan keyakinan rakyat dengan menyediakan jawapan konkrit serta memastikan semua tindakan dan kenyataan selaras dengan prinsip keadilan dan kebenaran. 

“Sebagai wakil komuniti pelbagai kaum dan agama, DHPP percaya bahawa isu ini tidak seharusnya dipolitikkan.

“Sebaliknya, ia mesti dilihat sebagai satu peluang untuk memperkukuh asas kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi negara yang menjadi tonggak perpaduan dan kemakmuran Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -