Desak kerajaan beri penjelasan isu Titah Adendum

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memandang serius isu berkaitan dakwaan Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak menjalani hukuman penjara di rumah.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, isu itu dilihat bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap integriti sistem perundangan negara, tetapi turut melibatkan kedudukan institusi diraja, yang menjadi tonggak kestabilan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri sebelum ini mendakwa bahawa Titah Adendum itu hanyalah khabar angin berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai lepas. 

“Fakta ini perlu diperbetulkan oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang mendakwa pernah melihat Titah Adendum itu secara peribadi.

“Jika tidak diperjelaskan, rakyat akan berpendapat mereka berdua cuba menyembunyikan sesuatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan berhubung dakwaan anak sulung kepada bekas Perdana Menteri tersebut, yang juga Exco Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohd Najib, yang mendakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berkaitan kewujudan Titah Adendum itu.

“Sebagai seorang rakyat yang telah membuat satu petisyen Diraja, Dato’ Seri Najib mempunyai hak untuk diberitahu keputusan penuh petisyen Diraja yang dikemukakan.

“Beliau juga berhak mendapat pelaksanaan penuh terhadap apa-apa keputusan pengampunan Diraja terhadap kesalahannya, sebagaimana yang diperoleh Perdana Menteri ke-10 suatu ketika dahulu,” jelas Mohamed Sukri. 

Beliau menegaskan bahawa rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan bagi menyelesaikan kekeliruan dan spekulasi yang timbul.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan sebarang kenyataan rasmi harus disokong dengan bukti dan dokumen yang sah. Keterlibatan isu ini dengan institusi diraja memerlukan kerajaan lebih berhati-hati dalam menjawab persoalan yang timbul.

- Advertisement -

“Institusi diraja adalah lambang kedaulatan negara yang perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya, justeru Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan memberi penjelasan tuntas berkenaan kecelaruan itu. 

Tegasnya, penjelasan ini perlu untuk menepis kegelisahan rakyat berkenaan campur tangan politik dalam proses kehakiman, selain memastikan kerajaan tidak ambil mudah terhadap isu melibatkan pihak istana agar ia tidak dijadikan bahan manipulasi politik. – HARAKAHDAILY /12/2024

- Advertisement -