
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menzahirkan rasa dukacita terhadap cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) yang bersifat drakonian dan berpotensi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, khususnya untuk menekan pembangkang.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, antara intipati utama pindaan itu adalah mewajibkan syarikat media sosial menyerahkan data peribadi pengguna kepada pihak berkuasa.
Selain itu menurutnya, kesalahan penyebaran maklumat palsu, mengelirukan, atau tidak lengkap bakal dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan penjara dua tahun.
“Siapakah pihak yang akan menentukan sama ada sesuatu maklumat itu palsu, mengelirukan, atau tidak lengkap? Kerajaankah atau Mahkamah?
“Apakah jaminan kerajaan tidak akan menggunakan pindaan ini untuk pendakwaan terpilih terhadap pembangkang, sambil membiarkan laskar siber pro-kerajaan?
“Malah, sebelum pindaan pun, berpusu-pusu aktivis pembangkang diintimidasi dengan Akta ini hanya kerana membuat hantaran yang tidak senada dengan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
ADUN Manjoi itu turut mengkritik Pakatan Harapan (PH) yang dianggap gagal memenuhi janji kebebasan bersuara apabila terus menguatkuasakan perundangan lama seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak, dan Akta Komunikasi, selain mengetatkan kawalan melalui pindaan baru.
“Pemuda PAS menggesa Kerajaan PH-BN memperhalusi pindaan ini dengan lebih teliti dan tidak menyalahgunakan undang-undang demi mempertahankan kuasa.
“Sikap Menteri Komunikasi yang kerap mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan melakukan buli siber juga menimbulkan kebimbangan terhadap niat sebenar di sebalik pindaan ini,” ujarnya.
Walaupun mengakui ada elemen positif dalam pindaan tersebut seperti usaha mengawal jenayah siber termasuk judi dalam talian, penipuan, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, beliau tetap bimbang kemungkinan pindaan itu disalahgunakan.
“Dikhuatiri pindaan yang terlalu lompong ini akan menjadi alat rejim Madani untuk terus membungkam kebebasan bersuara rakyat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2024











