
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meminta penjelasan berhubung statistik kelulusan permohonan kewarganegaraan, terutama mengenai percanggahan angka yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat kekeliruan dalam angka yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, iaitu jumlah permohonan sebanyak 17,000 tetapi keputusan dikeluarkan untuk 20,446 permohonan, menjadikan pencapaian 120.3 peratus.
“Saya tidak faham sama ada peratusan ini merujuk kepada 17,000 atau 20,000 permohonan 120 peratus tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad turut menyentuh isu kelulusan warganegara yang kurang fasih berbahasa Melayu dan menekankan keperluan ujian bahasa yang ketat dalam proses permohonan.
“Kita lihat warganegara yang ada pun ramai yang tak boleh berbahasa Melayu. Apa lagi warganegara yang diluluskan itu. Makna kita kena tekankan perkara ini dalam pemberian warganegara sebut,” ujarnya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya sedang mengambil langkah untuk memperbaiki proses pemprosesan kewarganegaraan.
“Kita telah mengeluarkan prosedur pengendalian standard permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada 30 September 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024











