
KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menekankan perlunya usaha yang lebih proaktif untuk memastikan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) dapat memainkan peranan yang efektif dalam mengukuhkan perpaduan.
Beliau menggesa kerajaan supaya memberi penjelasan mengenai Terma Rujukan (TOR) Harmoni yang ditubuhkan pada Ogos 2020 dan mencadangkan agar pelbagai ketua agama duduk bersama untuk mengenal pasti nilai teras setiap agama yang tidak boleh dikompromi.
“Adakah ia tidak boleh disentuh tetapi boleh menerima perkara cabang dan nilai universal seperti hormat-menghormati demi kesejahteraan dan kemakmuran?
“Rentas kaum ini perkara kritikal dan masih belum ditangani secara berkesan ialah menteri dan ketua agama juga mempunyai perbezaan dan kepelbagaian dalam ajaran agama masing-masing dan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Perpaduan Negara turut menegaskan bahawa perbezaan dalam ajaran agama adalah isu sensitif yang tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak kerana menjejaskan keharmonian.
“Mana-mana pihak tidak sepatutnya mencuit ‘wayar ketegangan’ yang berpotensi merebak seluruh negara dan menjejaskan keharmonian antara penganut pelbagai agama.
“Adakah kerajaan mempunyai kemahuan politik untuk menjemput dan libat urus kumpulan pelbagai termasuk yang tidak sealiran dengan kerajaan, termasuk kami kerana ia merupakan kunci kejayaan mewujudkan keharmonian dan perpaduan rentas agama,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kementeriannya dan Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah bertungkus lumus untuk mengadakan pelbagai aktiviti seperti simposium dan sebagainya.
“Terbaru, kita telah mengangkat satu Piagam Harmoni. Program ini telah melalui pelbagai sesi perbincangan dan kini sudah sampai ke peringkat kabinet,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











