‘Sepatutnya siswazah bekerja dalam kumpulan profesional’

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris membangkitkan isu pengangguran dalam kalangan siswazah serta penempatan pekerjaan yang tidak selari dengan bidang pengajian mereka.

- Advertisement -

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah siswazah yang masih menganggur atau bekerja di luar bidang pengajian, termasuk mereka yang terpaksa menerima pekerjaan dalam kategori sokongan walaupun memiliki kelayakan profesional. 

“Jadi sepatutnya siswazah kita bekerja dalam kumpulan kumpulan profesional tapi terpaksa bekerja dalam kumpulan separuh mahir iaitu kumpulan sokongan.

“Bolehkah Datuk Yang Berhormat Menteri berikan data-data atau maklumat isu yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam jawapannya memberitahu, data pekerjaan yang diperlukan selepas enam bulan tidak lagi disimpan di universiti dan dikendalikan oleh Kementerian Kesuma.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan program ‘upskilling’ untuk menangani isu ‘underemployment’, di mana individu bekerja dalam bidang yang tidak setara dengan kelayakan mereka.

Abdul Nasir dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah usaha-usaha Kerajaan dalam menangani masalah lambakan graduan yang menganggur.  – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -