Banjir di tujuh negeri semakin pulih

Pasukan Operasi Banjir DUN Jabi bergotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas dengan musibah itu.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Banjir di tujuh negeri semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 46,438 orang daripada 14,254 keluarga ditempatkan di 173 pusat pemindahan sementara (PPS).

- Advertisement -

Berdasarkan portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 12.39 petang, di Kelantan bilangan itu berkurangan kepada 31,481 membabitkan 10,064 isi rumah.

Mereka ditempatkan di 79 PPS sebahagian besarnya di Pasir Mas 36 PPS, Tumpat (42 PPS) dan satu PPS di Bachok membabitkan lapan mangsa daripada tiga keluarga.

Di Terengganu tujuh daerah di negeri itu masih dilanda banjir, situasi itu membabitkan 7,640 orang daripada 1,928 keluarga yang menghuni 39 PPS.

Di Kedah pula sebanyak 26 PPS masih beroperasi melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena membabitkan seramai 5,926 orang daripada 1,865 keluarga.

Dalam pada itu di Johor mencatat seramai 1,002 orang daripada 281 keluarga masih menduduki 18 PPS membabitkan daerah Segamat dan Tangkak

Kinta dan Perak Tengah masih dilanda banjir di Perak, manakala seramai 164 orang daripada 57 keluarga masih ditempatkan enam PPS yang masih beroperasi setakat jam 1.00 tengah hari hari ini.

Banjir di Melaka pula semakin pulih apabila hanya satu di Jasin membabitkan 160 orang daripada 41 keluarga ditempatkan dua PPS, Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat.

Sebanyak tiga PPS di Pahang masih dibuka membabitkan Parlimen Bera, Maran dan Temerloh dengan 47 mangsa banjir daripada 11 keluarga. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -