Premium insurans naik, tambah beban kesihatan awam?

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan premium insurans yang dilaporkan meningkat antara 40 hingga 70 peratus.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai beban tambahan kepada rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. 

“Dengan kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, bagaimana kerajaan memastikan pengguna tidak terbeban, terutamanya mereka yang menggunakan insurans untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa situasi semasa memaksa pesara yang dahulunya menerima rawatan di hospital swasta kini beralih ke hospital kerajaan akibat kenaikan premium insurans.

Malah, beliau menzahirkan kebimbangan sekiranya lebih ramai pemegang polisi insurans kesihatan terpaksa berhenti mencarum akibat kenaikan kos, sekali gus menambah beban kepada sistem kesihatan awam. 

“Jika mereka kembali bergantung kepada hospital kerajaan, bagaimana kerajaan akan menangani beban tambahan kepada sistem kesihatan awam? Apakah dasar yang akan diperkenalkan untuk membantu pemegang polisi yang terjejas ini?” tanya beliau. 

Selain itu Awang mengusulkan agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan pelepasan cukai untuk insurans, pendidikan, dan perubatan daripada RM3,000 kepada RM4,000.

Cadangan itu dikemukakan beliau sebagai langkah positif untuk menggalakkan simpanan pendidikan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan. 

Namun, beliau mempersoalkan sejauh mana manfaat pelepasan cukai ini dapat dinikmati oleh golongan B40 dan M40.

“Berapa ramai individu daripada segmen B40 dan M40 yang benar-benar mendapat manfaat daripada pelepasan ini? Adakah jumlah ini signifikan, atau ia hanya memanfaatkan golongan yang sudah berkemampuan?” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

- Advertisement -