
RANTAU PANJANG: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim hari ini menziarahi keluarga yang dua beranak meninggal dunia semalam.
Rohani mengambil kesempatan itu untuk merakamkan ucapan takziah serta bertanya khabar keluarga berkenaan yang diuji kehilang insan tersayang ‘pergi’ serentak.
Menurutnya, keluarga Allahyarham Nur Iezarra Abd Talib, 9, dan ibunya Yusnieta Mohd Lawi, 40, dalam kesedihan kerana mereka kehilangan dua insan serentak dalam tempoh empat hari.
“Kita begitu bersimpati dengan kesedihan yang menyelubungi sebuah keluarga ini apabila kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh yang singkat.
“Anak keempat daripada lima beradik, Allahyarham Iezarra, meninggal dunia akibat serangan sawan, sementara ibunya, Allahyarham Yusnieta, kembali ke rahmatullah akibat strok,” katanya.
Terdahulu Rohani yang juga ADUN Tanjung Mas menziarahi keluarga terbabit di Kampung Tok Deh, dekat sini hari ini.
Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga tersebut, terutama melihat wajah anak-anak yang tetap tabah dan reda menerima ujian berat ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas dugaan besar itu.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua mereka dan menempatkan mereka bersama orang-orang yang beriman. Umat Islam diseru untuk terus mendoakan kesejahteraan keluarga ini dalam menghadapi detik sukar ini.
“Sesungguhnya, daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya jualah kita kembali,” katanya.
Pada 1 Disember lalu, Nur Lezarra yang juga mangsa banjir, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di rumahnya di Kampung Gual To’ Deh oleh anggota keluarga.
Pada masa sama, ahli keluarga mendapati ibu kepada mangsa, Yusnieta Mohd Lawi, 40, tiba-tiba tidak mampu bergerak dipercayai akibat terkena serangan angin ahmar.
Yusnieta akhirnya meninggal dunia semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini jam 6:30 pagi semalam. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











