
TUMPAT: Beberapa bulan sebelum banjir berlaku di Pantai Timur, Jabatan Amal Malaysia telah memulakan sesi latihan persediaan bencana seperti latihan berenang, mengendali bot, menyelamatkan mangsa di air dan Amal Medic.
Bukan hanya di peringkat Pusat, Jabatan Amal negeri Kelantan juga turut melakukan perkara yang sama di peringkat masing-masing sebagai persediaan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Amal Malaysia, Muhammad Najib Shafie berkata, keadaan banjir yang makin buruk di Kelantan, khususnya Tumpat menjadi daerah kedua tertinggi, menyebabkan pihaknya turut terpanggil untuk membantu.
Menurut beliau, pihaknya ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di negeri ini setelah menerima arahan dari Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).
Katanya, semalam Jabatan Amal Kedah telah memulakan operasi mereka di Rantau Panjang dengan kekuatan petugas seramai empat orang dan satu bot serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Jelasnya, hari ini Jabatan Amal Selangor pula menghantar 10 petugas dengan tiga buah pacuan empat roda dan dua buat bot di Daerah Tumpat untuk tujuan yang sama.
“Pengurusan Khidmat Malaysia telah memilih kawasan yang teruk dilanda banjir.
“Jabatan Amal yang bernaung di bawah Khidmat Malaysia ini telah menyelaraskan daerah mana yang lebih terjejas dan perlu dibantu,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Wakaf Bharu, di sini semalam.
Seramai 10 anggota Jabatan Amal Selangor yang diketuai oleh beliau yang juga Timbalan Pengarah 2 Operasi Selangor turun ke Daerah Tumpat untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang perlu dipindahkan.
Jelasnya, Jabatan Amal akan terus membantu mangsa-mangsa banjir sedaya mungkin.
Sementara itu, ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Jabatan Amal yang turun membantu mangsa banjir di Daerah Tumpat khususnya DUN Wakaf Bharu.
Katanya, mangsa banjir di Daerah Tumpat juga semakin bertambah sehingga jumlah mangsa kini mencecah lebih 16,000 orang dan menjadi daerah kedua tertinggi selepas Pasir Mas.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024












